
RAUB, 23 Julai – Pemanfaatan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) membuahkan hasil apabila Politeknik Muadzam Shah (PMS) dinobatkan sebagai Johan Pertandingan Video Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) POLYCC Negeri Pahang 2026 bagi kategori Video PdP Politeknik yang berlangsung di Kolej Komuniti Raub.
Kejayaan tersebut diraih menerusi video PdP bertajuk Sensors and Actuators hasil garapan Puan Norsilawati binti Jaminam dan Encik Jamadeel Izwan bin Ibrahim, pensyarah dari Jabatan Kejuruteraan Mekanikal (JKM). Video berasaskan AI itu menampilkan pendekatan pengajaran yang mengintegrasikan teknologi digital bagi mewujudkan pengalaman pembelajaran yang lebih interaktif, kreatif dan selari dengan keperluan pendidikan serta latihan teknikal dan vokasional (TVET) masa kini.
Pertandingan yang menghimpunkan penyertaan daripada institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (POLYCC) seluruh negeri Pahang itu bertujuan mengiktiraf penghasilan bahan pengajaran digital yang berkualiti di samping menjadi platform perkongsian amalan terbaik dalam memperkasakan inovasi PdP.
Kejayaan ini turut mencerminkan komitmen berterusan PMS dalam memperkasa transformasi pendidikan melalui penerapan teknologi digital serta inovasi dalam penyampaian pengajaran. Penyertaan aktif warga akademik PMS dalam pertandingan seumpama ini membuktikan kesungguhan institusi untuk melahirkan tenaga pengajar yang berinovasi, kompeten dan bersedia mendukung agenda pendigitalan pendidikan TVET negara.
Pencapaian tersebut diharap dapat menjadi pemangkin kepada lebih banyak penghasilan bahan PdP berimpak tinggi yang memanfaatkan teknologi AI sekali gus meningkatkan kualiti penyampaian pengajaran dan pembelajaran di PMS.
