
20 November 2025 – Politeknik Muadzam Shah (PMS) mencatat satu lagi pencapaian bermakna melalui penganjuran Majlis Menandatangani Kerjasama Kolaborasi Strategik bersama lima rakan industri sempena Visual Communication Show 2025 (VISCOM 25) yang berlangsung di kampus PMS, Pahang , semalam.
Lima rakan industri yang turut memeterai kerjasama tersebut ialah Percetakan Nasional Malaysia Berhad (PNMB), iCetak Sdn. Bhd., Shin Nippon Industries Sdn. Bhd., Tiong Tat Printing Industry Sdn. Bhd., dan Infocus Printing Sdn. Bhd. Kerjasama ini menandakan komitmen bersama PMS dan pihak industri dalam memperkukuh jaringan profesional serta memperluas peluang pembangunan kemahiran pelajar.
Majlis menandatangani dokumen kerjasama telah disempurnakan oleh Encik Shahrul Nizam bin Mohamed, Timbalan Pengarah Akademik (TPA), yang mewakili Pengarah PMS, Haji Mohd Yusof bin Zakaria. Turut hadir menyaksikan majlis ialah Encik Mohd Helmi Bin Salleh, Timbalan Pengarah Sokongan Akademik, serta Puan Zahana Binti Yusoff, Ketua Jabatan Rekabentuk & Komunikasi Visual.
Kerjasama strategik ini merangkumi pelbagai skop penting termasuk penyediaan latihan industri, perkongsian kepakaran industri dalam pembangunan kurikulum, penyediaan latihan teknikal, ceramah industri, lawatan tapak, serta penilaian prestasi pelajar. Inisiatif tersebut diyakini mampu memperkukuh hubungan PMS–industri dan meningkatkan pengiktirafan terhadap kualiti pendidikan yang ditawarkan.
Majlis ini bukan sahaja menandakan peluasan jaringan industri PMS, tetapi juga selari dengan keperluan semasa dunia pekerjaan yang menuntut kemahiran relevan dan pendedahan industri secara menyeluruh kepada para pelajar.








