
23 Jun 2026- Politeknik Muadzam Shah (PMS) sekali lagi membuktikan keupayaannya di pentas inovasi antarabangsa apabila dua pasukan pelajarnya telah berjaya membawa pulang empat pengiktirafan berprestij dalam Borneo International Innovation Creativity Competition 2026 (BIICC 2026) anjuran Malaysia Young Scientists Organisation (MYSO).

Kejayaan tersebut menyaksikan pasukan PolyAgroPMS meraih Anugerah Emas (Gold Award), Tempat Pertama (1st Place) bagi kategori Agrotechnology & Food Security serta BIICC Entrepreneur Award menerusi produk inovasi Sambal Garing Cendawan. Pasukan itu dianggotai oleh Muhammad Hariz Ikwan, Mohamad Zarief Akmal dan Muhammad Danish Eddin dari Jabatan Kejuruteraan Mekanikal (JKM).

Sementara itu, pasukan Albys yang diwakili oleh Nurbasyirah, Nur Alya Batrisyia dan Nurul Batrisya Amyra dari Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti (JPH) turut mengharumkan nama institusi apabila berjaya meraih Anugerah Perak (Silver Award) menerusi produk inovasi Ayam Bukan Ayam.

Kejayaan kedua-dua pasukan di bawah bimbingan Encik Mohd Emran bin Mat Hassan dari Jabatan Matematik, Sains dan Komputer (JMSK) ini telah membuktikan keberkesanan bimbingan akademik serta komitmen berterusan dalam melahirkan pelajar yang kreatif, inovatif dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.
Pertandingan yang menghimpunkan penyertaan daripada 20 buah negara ini menjadi platform penting dalam mengetengahkan potensi inovasi pelajar di persada global. Pencapaian tersebut sekali gus mencerminkan komitmen Politeknik Muadzam Shah dalam memperkasa budaya inovasi dan keusahawanan, selaras dengan aspirasi melahirkan graduan TVET yang kompeten, berdaya saing dan mampu mencipta impak di peringkat antarabangsa.
