
MUKAH, 23 April 2026 — Program Jom Baca Bersama 10 Minit 2026 telah berlangsung serentak di seluruh Malaysia termasuk di Politeknik Mukah (PMU) di sini, hari ini.
Program bertemakan “Membaca Membina Bangsa” itu menggalakkan warga kampus meluangkan masa selama 10 minit untuk membaca bahan bacaan sebagai usaha menyemai budaya ilmu dalam kalangan masyarakat.
Sepanjang program di PMU, Unit Pusat Sumber turut menganjurkan aktiviti “Blind Date with a Book”, iaitu pengunjung memilih buku secara rawak yang dianggap sebagai “pasangan bacaan” mereka, sekali gus menjadikan pengalaman membaca lebih santai dan menyeronokkan.
Ketua Unit Pusat Sumber PMU, Rosfatimah Wasli berkata program tersebut memberi impak posirif dalam menggalakkan minat membaca dalam kalangan pelajar.
“Program ini bukan sahaja memupuk budaya membaca, malah membantu pelajar menghargai ilmu walaupun dalam tempoh yang singkat. Aktiviti seperti ‘Blind Date with a Book’ turut menjadikan perpustakaan lebih dekat dengan pelajar,” katanya.
Sementara itu, pelajar PMU, Nur Khairunnisha berkata program ini memberi pengalaman yang menarik dan berbeza dalam aktiviti membaca.
“Walaupun hanya 10 minit, saya rasa ia sangat bermakna. Aktiviti ‘Blind Date with a Book’ menjadikan suasana lebih menarik dan tidak membosankan,” katanya.
Selain itu peserta turut mengambil peluang berkongsi secara ringkas mengenai bahan bacaan yang dibaca serta manfaat yang diperoleh sepanjang program berlangsung.
Program ini diharapkan dapat terus menyemarakkan budaya membaca dalam kalangan warga PMU serta menyokong aspirasi nasional dalam melahirkan masyarakat berilmu dan berpengetahuan. — PMU

