POLIMAS, komuniti bekerjasama ceriakan tanah perkuburan Masjid Al-Muttaqin

POLITEKNIK SULTAN ABDUL HALIM MUADZAM SHAH
22 July 2026
Aktiviti Pelajar, BERITA


JITRA – Seramai 154 peserta menyertai Program Khidmat Masyarakat di Tanah Perkuburan Masjid Al-Muttaqin, Taman Mahsuri, di sini dalam usaha memelihara kebersihan, menceriakan persekitaran serta meningkatkan aspek keselamatan kawasan perkuburan berkenaan.

Program itu merupakan anjuran Jabatan  Kejuruteraan  Elektrik (JKE), Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS) dengan kerjasama Persatuan Khairat  Kematian Masjid Al-Muttaqin.

Ia menghimpunkan 74 kakitangan JKE POLIMAS, 30 ahli jawatankuasa persatuan khairat dan komuniti setempat serta 50 pelajar Diploma Kejuruteraan Elektrik (DET) Semester 1 dan Semester 4.

Ketua Jabatan JKE POLIMAS, Sofwan Ramli berkata, program itu bukan sekadar aktiviti khidmat masyarakat, sebaliknya menjadi platform pembelajaran berasaskan pengalaman kepada pelajar.

Menurutnya, penglibatan dalam program tersebut memberi peluang kepada mahasiswa mengaplikasikan kemahiran teknikal dan kemahiran insaniah yang dipelajari di POLIMAS dalam situasi sebenar.

Sementara itu, seorang pelajar, Umar Mukhtar Mohd Shukri berkata, program berkenaan membuka ruang kepada pelajar untuk lebih memahami kepentingan menyumbang kepada masyarakat.

“Aktiviti gotong-royong bukan sahaja mengeratkan hubungan dengan komuniti setempat, malah memupuk nilai tanggungjawab dan empati terhadap keperluan masyarakat,” ujarnya.

Antara aktiviti yang dijalankan ialah menebas semak samun, membersihkan kawasan, menebang pokok berisiko, mengecat tembok, membaja pokok di kawasan pusara serta memasang lampu solar bagi meningkatkan pencahayaan di tanah perkuburan.

sumber : https://malaysiatribune.news/polimas



BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti