DEWANKOSMIK. JENDELADBP. MY, 6 JULAI 2024
Ipoh – Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS) sekali lagi membuktikan kecemerlangannya di pentas kemahiran apabila berjaya meraih kejayaan yang membanggakan dalam Pertandingan Kemahiran Politeknik dan Kolej Komuniti Malaysia (POLYCCSkills) 2024 yang berlangsung dari 1 Julai 2024 hingga 4 Julai 2024.
Pertandingan tersebut diadakan di dua lokasi, iaitu Politeknik Sultan Azlan Shah dan Politeknik Ungku Omar.
“Kami amat berbangga dengan usaha para peserta dan jurulatih yang berlatih serta berusaha keras sebelum hari pertandingan tersebut, sekali gus menunjukkan POLIMAS amat komited dalam menyediakan pendidikan berkualiti tinggi yang sejajar dengan keperluan industri,” kata Timbalan Pengarah Akademik POLIMAS, Puan Salmiyah Che Ahmad.
Sesi taklimat oleh Timbalan Pengarah Akademik POLIMAS, Puan Salmiyah Che Ahmad.
Tambah beliau, pihaknya akan terus berusaha untuk meningkatkan prestasi para pelajar dan menjadikan mereka sebagai aset yang berharga kepada negara.
Sebanyak 18 orang pelajar dan 18 orang jurulatih dari POLIMAS telah menyertai pertandingan berkenaan bagi mewakili 10 daripada 39 bidang yang dipertandingkan seperti pertukangan kayu, perakauan, kimpalan, pentadbiran rangkaian sistem teknologi maklumat, elektronik, seni taman, teknologi dron, mechanical CAD, digital construction dan adaptive manufacturing.
Kesungguhan dan dedikasi para peserta serta jurulatih POLIMAS telah membuahkan hasil apabila mereka berjaya meraih anugerah emas bagi kategori bidang perakaunan, manakala merangkul anugerah perak dan gangsa bagi kategori bidang pertukangan kayu dalam pertandingan POLYCCSkills 2024 berkenaan.
Pelajar dari POLIMAS menerima anugerah emas bagi kategori bidang perakaunan dalam pertandingan POLYCCSkills 2024.
Penerima anugerah perak bagi kategori bidang pertukangan kayu dalam pertandingan POLYCCSkills 2024.
Anugerah gangsa bagi kategori bidang pertukangan kayu dalam pertandingan POLYCCSkills 2024 dimenangi oleh pelajar dari POLIMAS.
Encik Wan Nor Harman Wan Yahaya selaku Penyelaras POLYCCSkills POLIMAS merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan penyertaan POLIMAS dalam POLYCCSkills 2024.
Menurut beliau, kejayaan yang diperoleh merupakan hasil daripada kerja keras dan dedikasi para pelajar, sekali gus membuktikan kemampuan para pelajar dalam menguasai kemahiran yang diperlukan untuk berjaya dalam dunia pekerjaan.
Ujar beliau,
Kejayaan di POLYCCSkills 2024 ini merupakan bukti komitmen POLIMAS dalam melahirkan pelajar yang berkemahiran tinggi dan berdaya saing pada peringkat global dan POLIMAS akan terus berusaha untuk meningkatkan kecemerlangan dalam bidang kemahiran dan menjadi sebuah institusi pendidikan yang terunggul di Malaysia.
Kata beliau, kejayaan POLIMAS dalam POLYCCSkills 2024 merupakan satu inspirasi kepada semua pelajar dan institusi pendidikan di negara ini untuk terus berusaha dan meningkatkan kecemerlangan dalam bidang kemahiran.