POLIMAS RANGKUL 2 PINGAT EMAS DAN 2 PINGAT PERAK IPITEX 2025

POLITEKNIK SULTAN ABDUL HALIM MUADZAM SHAH
17 February 2025
Penyelidikan dan Inovasi

Jitra – Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS)Jitra,Kedah telah berjaya merangkul 2 pingat emas dan 2 pingat perak dalam Bangkok International Intellectual Property, Invention, Innovation And Technology Exposition (IPITEx 2025) – ‘Thailand Inventors Day 2025’ yang telah diadakan bertempat di Bangkok International Trade & Exhibition Centre (BITEC), Bangkok Thailand baru-baru ini.

Pasukan POLIMAS terdiri dari pensyarah Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Jabatan Kejuruteraan Awam dan Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi telah  memperolehi emas pertama melalui projek inovasi yang bertajuk, ICOMPEX MANAGEMENT SYSTEM V2.0 (iCMS). Pembentangan   telah dibuat oleh Ts Azimah Ismail, Ts Izyan Wahida Zainudin dan Norhazaliana Affendi. iCMS V2.0 merupakan  satu inovasi yang dibangunkan untuk membantu penganjuran program yang paling berprestij iaitu iComPEx, diperingkat antarabangsa, dalam mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) POLIMAS, dan seterusnya menjadi terkenal dalam bidang penyelidikan, inovasi, dan pembangunan.

Perbincangan mengenai keperluan untuk menangani isu penyelidikan dan mencadangkan penambahbaikan, daripada pendekatan manual kepada separa manual, dan akhirnya telah dibangunkan sistem yang mengintegrasikan maklumat dengan lebih berkesan, membawa kepada pembangunan sistem maklumat yang terintegrasi dan cekap, iaitu iCMS V2.0.

Pingat emas kedua pula diperolehi melalui Projek Inovasi Kedah e-Heritage. Pembentangan telah dibuat oleh Nor Azida Ishak, Ts. Nurhidayah Azhar dan Ts. Nadia Che Abd Rani. Projek ini merupakan satu aplikasi yang dibina bagi menyediakan platform untuk mendapatkan maklumat mengenai bangunan warisan Kedah yang terdapat di pusat bandar Alor Setar. Kedah e-Heritage ini dibangunkan dengan harapan  dapat melahirkan satu aplikasi/platform di alam maya bagi meneroka keunikan sejarah serta keunikan senibina bangunan bersejarah yang terdapat di Bandar Alor Setar. Melalui e-Jejak hasil-hasil kajian Lukisan Terukur dapat dikompilasi dalam bentuk Website, Wonda VR, Youtube, MyMaps, dan ArcGIS untuk rujukan dan kajian kepada pihak luar.

POLIMAS  juga turut memperolehi 2 pingat perak dari projek inovasi Re-PlasBloc (Ts Azimah  Ismail, Ts Masniza Yusof, Salwa Samsuri) yang memaparkan cara inovatif dan lestari untuk menggunakan semula sisa plastik “polietilena” berketumpatan tinggi daripada produk bahan buangan detergen dengan resepi sebatian tersendiri bagi membantu mencipta bahan binaan yang mesra alam dan mampu milik . Pingat perak kedua dimenangi melalui projek inovasi ARCALIB (Haslina Abu Bakar, Siti Nor A’khidah Samsudin) merupakan projek inovasi Perpustakaan Akademik Realiti Terimbuh mengintegrasikan teknologi realiti terimbuh ke dalam perpustakaan akademik bagi meningkatkan interaksi pengguna dengan e-buku.

Menurut Ketua Pasukan POLIMAS, Ts Azimah Ismail, “Kemenangan ini menjadi bukti pensyarah POLIMAS mempunyai keupayaan dan kepakaran  untuk menghasilkan inovasi terkini setanding dengan pensyarah dari universiti lain dari  luar negara dan kejayaan yang kita capai hari ini adalah hasil daripada dedikasi, kreativiti, dan kerjasama yang luar biasa secara berpasukan”.

Sementara itu, Pengarah POLIMAS, Rosli  Idris berkata, “Kejayaan ini merupakan satu penghargaan dan pengiktirafan kepada POLIMAS kerana pensyarah politeknik mampu dan berdaya saing di dalam menghasilkan inovasi yang memberi impak besar dan ini menunjukkan bahawa tiada had bagi apa yang kita boleh capai apabila kita bekerjasama dengan tekad dan idea yang segar.” Menurutnya lagi, “Semoga kejayaan ini menjadi inspirasi untuk terus mencipta lebih banyak penyelesaian yang bermanfaat. Jutaan terima kasih saya ucapkan kepada pensyarah POLIMAS yang terlibat kerana beroleh kemenangan mendapatkan pingat emas dan perak ini diperingkat antarabangsa secara tak langsung meningkat imej POLIMAS dipersada dunia”.

IPITEx 2025 telah diadakan oleh National Research Council of Thailand (NRCT) dan merupakan satu acara tahunan melibatkan inventor dari seluruh dunia. Pertandingan ini menyediakan platform untuk mendapat pengiktirafan bagi projek inovasi, memperkenalkan projek kepada syarikat luar dan pembentangkan projek terpilih oleh NRCT. Dalam pertandingan yang diadakan ini 469 projek inovasi dipertandingkan dari penyertaan 24 buah negara termasuk German, United Kingdom, China, Jepun dan Indonesia. Pingat dan sijil berkenaan telah disampaikan oleh Dr. Wiparat De-ong Pengarah Eksekutif, NRCT.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti