
JENDELA MADANI




Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS), Kedah terus menyerlah dalam bidang sukan apabila pasukannya merangkul Naib Johan pada Kejohanan Petanque Remaja Kebangsaan Bawah 20 Tahun (Double Junior) 2025 di Arena Petanque Kuala Kangsar, Perak pada 18 dan 19 Oktober 2025.
Kenyataan media POLIMAS memaklumkan kejohanan yang menghimpunkan seramai 106 peserta dari seluruh negara itu menyaksikan saingan sengit dalam kalangan remaja berbakat.
Pasukan POLIMAS yang dibimbing oleh Jurulatih Zul Amalli Harun berjaya membuktikan keampuhan taktikal dan semangat juang yang tinggi apabila pasangan Muhammad Fitri Ibrahim dan Wan Umi Nafeesya Amna Wan Osmadi dinobatkan sebagai Naib Johan Petanque Remaja Kebangsaan Bawah 20 Tahun 2025.
BEBERAPA WAKIL LAIN
Sementara itu, pencapaian membanggakan turut disumbangkan oleh beberapa wakil lain dari POLIMAS iaitu tempat ke-5 hingga ke-8: Muhammad Afiq Zakwan Zainal dan Muhammad Arif Adha Ahmad.
Manakala Best 32 pula Ahmad Hafiz Salahuddin, Muhammad Syahrulnizam, Muhammad Adam Shahputra Muhammad Azrul dan Najla Qistina Shahrin.
Bagi Best 64: Nur Afrina Noor Shaharil Anuar dan Muhammad Haris Mohd Tasiruddin.
Jurulatih, Zul Amalli ketika ditemui selepas kejohanan melahirkan rasa syukur dan bangga dengan prestasi anak didiknya.
STRATEGI YANG MATANG
“Mereka bermain dengan disiplin, strategi yang matang dan semangat berpasukan yang luar biasa. Kejayaan ini hasil daripada latihan konsisten serta sokongan padu daripada pihak pengurusan POLIMAS,” kata beliau.
Beliau berkeyakinan mereka mampu pergi lebih jauh di masa hadapan.
Menurutnya lagi, kejohanan ini bukan sekadar medan pertandingan, tetapi platform pembangunan bakat muda yang mampu melahirkan pemain pelapis untuk sukan petanque peringkat kebangsaan.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Akademik POLIMAS Dr. Mhd Azmin Mat Seman, mengucapkan tahniah kepada seluruh pasukan dan jurulatih atas kejayaan membanggakan itu.
UNGGUL DALAM AKADEMIK
“Pencapaian ini menunjukkan bahawa pelajar POLIMAS bukan sahaja unggul dalam akademik, malah menyerlah dalam bidang sukan.
Ini sejajar dengan aspirasi kami untuk melahirkan graduan TVET yang seimbang dari segi ilmu, sahsiah dan fizikal,” katanya.
Kejayaan pasukan petanque ini turut memperkukuh reputasi POLIMAS sebagai institusi TVET yang komited dalam membina potensi pelajar secara holistik.
Dengan semangat kesukanan yang tinggi dan komitmen tidak berbelah bahagi daripada semua pihak POLIMAS sekali lagi membuktikan keunggulannnya di pentas kebangsaan ,bukan sekadar di medan ilmu, tetapi juga di gelanggang juara. – JM