
Jendela Madani 4 Feb 2026




Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS) mencatat sejarah apabila secara rasmi dinaik taraf sebagai Politeknik Premier, sekali gus melonjakkan institusi berkenaan ke dalam kelompok elit politeknik terbaik Malaysia.
Pengiktirafan berprestij itu diumumkan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Dr. Shamsuri Abdullah, sempena Majlis Aspirasi Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti Tahun 2026 yang berlangsung di Politeknik Merlimau, Melaka baru-baru ini.
Pengiktirafan Politeknik Premier itu telah diterima sendiri oleh Timbalan Pengarah Akademik POLIMAS, Dr. Mhd Azmin Mat Seman.
KEUPAYAAN LUAR BIASA
Dr. Shamsuri Abdullah dalam ucapannya berkata POLIMAS telah membuktikan keupayaan luar biasa sebagai institusi yang bukan sahaja melahirkan graduan berkemahiran tinggi, malah mampu menyesuaikan sistem pengajaran dan pembelajaran dengan keperluan industri yang sentiasa berubah.
Beliau menegaskan bahawa pengiktirafan tersebut adalah hasil prestasi konsisten POLIMAS yang menunjukkan peningkatan berterusan dari segi kualiti program, inovasi pengajaran serta sumbangan kepada pembangunan modal insan negara.
Dr. Mhd Azmin pula menyifatkan penaiktarafan ini sebagai detik yang amat bermakna dan membanggakan.
“Kejayaan ini adalah hasil kerja keras dan komitmen berpasukan seluruh warga POLIMAS yang tidak pernah jemu meningkatkan kualiti pendidikan dan latihan,” kata beliau.
MEMBAWA BERSAMA TANGGUNGJAWAB
Beliau turut menegaskan bahawa status Politeknik Premier membawa bersama tanggungjawab besar untuk memastikan POLIMAS terus menjadi rujukan dalam sistem politeknik negara.
Penasihat Industri POLIMAS merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Industri (JPI), Datuk Sr Mohd Asri Abdul Gani, menyifatkan pemilihan POLIMAS sebagai satu kejayaan besar yang wajar dibanggakan oleh seluruh warga institusi.
“Tahniah saya ucapkan kepada seluruh warga POLIMAS atas kejayaan terpilih sebagai salah satu daripada 10 politeknik yang akan dinaik taraf kepada Politeknik Premier,” kata beliau.
OLEH PIHAK PENGURUSAN
Beliau berkata pemilihan ini jelas membuktikan bahawa prestasi, komitmen serta kerja keras yang ditunjukkan oleh pihak pengurusan dan warga POLIMAS selama ini telah mendapat pengiktirafan di peringkat tertinggi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Menurut beliau, pencapaian tersebut bukan sahaja mengharumkan nama POLIMAS, malah memberi impak besar kepada pembangunan modal insan dan ekosistem industri negara.
“Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Industri, saya amat berbangga dengan pencapaian ini dan melihatnya sebagai satu pencapaian besar yang bukan sahaja mengangkat imej POLIMAS, tetapi turut memberi manfaat jangka panjang kepada industri melalui penghasilan tenaga kerja mahir yang berkualiti,” ujarnya. – JM