
KOTA KINABALU, 8 SEPTEMBER 2026 – Politeknik Kota Kinabalu (PKK) mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai pemacu utama Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menerusi pemeteraian kerjasama strategik bersama pihak industri demi melahirkan modal insan berdaya saing bagi menyokong agenda pembangunan negeri dan negara.
Langkah itu direalisasikan menerusi Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Panel Penasihat Industri (IAP) dan Sijil Kolaborasi Rakan Strategik PKK yang berlangsung di Dewan Rafflesia, PKK, di sini hari ini. Pada majlis tersebut, seramai 51 orang Panel Penasihat Industri (IAP) telah hadir, di mana 28 daripadanya menerima Sijil Watikah Pelantikan baharu, manakala 17 syarikat serta agensi diraikan sebagai rakan kolaborasi strategik baharu PKK.
Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA), YBhg. Datuk Seri Panglima Haji Hashim Paijan berkata, penyatuan kepakaran akademik dan industri amat mendesak bagi memastikan program pengajian sentiasa relevan dengan perubahan pesat teknologi serta kehendak pasaran kerja masa kini.
Beliau menjelaskan, ketika dunia mula melangkah daripada Industri 4.0 ke era Industri 5.0, peranan tenaga kerja tidak lagi terhad kepada penguasaan teknologi seperti Kecerdasan Buatan (AI), automasi dan Internet of Things (IoT), sebaliknya menuntut keseimbangan antara kemahiran teknikal dan kualiti kemanusiaan.
“Mesin mungkin mampu memproses jutaan data dalam sesaat, namun empati, daya penyelesaian masalah yang kompleks, kreativiti, dan integriti adalah kualiti kemanusiaan yang tidak mampu digantikan oleh mana-mana robot. Oleh itu, graduan masa depan mesti seimbang; mereka wajib mahir menguasai teknologi, tetapi harus kekal berjiwa kemanusiaan,” katanya.
Menurut beliau, kerjasama rapat antara institusi pendidikan, sektor industri dan kerajaan merupakan teras penting dalam memacu ekonomi Sabah, terutamanya menerusi agenda Koridor Pembangunan Sabah yang diterajui oleh SEDIA.
Sinergi pelantikan IAP dan jalinan rakan strategik ini merangkumi pelbagai bidang utama di PKK termasuk Jabatan Kejuruteraan Awam, Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Jabatan Perdagangan serta Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti.
Mengulas lanjut, Datuk Seri Panglima Haji Hashim menegaskan bahawa pembangunan bakat tempatan yang berkualiti memerlukan masa dan perancangan teliti berbanding perolehan mesin serta perisian canggih.
Sehubungan itu, pelantikan IAP berperingkat ini menjadi jambatan penting dalam memastikan kurikulum pengajian di politeknik sentiasa ditambah baik mengikut piawaian industri, sekali gus menjamin kebolehpasaran para graduan.
“Apabila dunia akademik dan industri berjalan seiring, kita bukan sahaja melahirkan graduan yang pandai, tetapi kita sedang membina masa depan negara,” katanya.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pengarah Politeknik Kota Kinabalu, Encik Md Nor bin Abdul Halim; Timbalan Pengarah Akademik, Teknologis Abdul Razak bin Mohd Daim; Timbalan Pengarah Sokongan Akademik, Encik Muhammaddin bin Mohd Jair; Ketua Jabatan Perdagangan, Puan Nirazmilah binti Sulaiman; serta wakil-wakil industri dan warga akademik PKK.

