POLYCC Dapat Pengiktirafan Dalam UI GreenMetric World Sustainability University

UKK JPPKK
10 February 2023
BERITA, Umum

19 Disember 2022, Putrajaya – Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) terus membuktikan komitmen dan tanggungjawabnya terhadap kelestarian dan kemampanan institusi apabila berjaya mencapai penarafan yang memberangsangkan dalam UI GreenMetric (UIGM) World University Ranking 2022.

Pada tahun ini,Politeknik Merlimau, Melaka (PMM) masih dikedudukan yang tertinggi berbanding kesemua politeknik dan kolej komuniti yang menyertai iaitu ditangga ke 322 daripada 1050 jumlah penyertaan seluruh dunia.

Selain itu, sebanyak 4 daripada 8 politeknik yang tersenarai juga telah menunjukkan peningkatan kedudukan masing-masing berbanding tahun lepas dimana Politeknik Mersing (PMJ) berjaya mencapai kedudukan ke-445 daripada 1050 universiti dengan lonjakan 83 anak tangga berbanding kedudukan ke-528 daripada 956 universiti di seluruh dunia pada tahun lepas. Manakala, di peringkat nasional, kedudukan Politeknik Mersing naik sedikit satu anak tangga ke-21 daripada kedudukan ke-22 pada tahun lepas.

Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS) turut berjaya memperbaiki kedudukan ke-484 dengan mencipta lonjakan yang paling ketara antara semua politeknik dan kolej komuniti yang tersenarai iaitu sebanyak 180 anak tangga berbanding kedudukan ke-644 pada tahun lepas.

Pada peringkat universiti tempatan pula, PSIS naik dua anak tangga ke-22 daripada kedudukan ke-24 pada tahun 2021.

Politeknik Kuching Sarawak (PKS) pula berjaya mencatatkan kedudukan ke-612 dengan lonjakan 109 anak tangga berbanding kedudukan ke-721 pada tahun lepas.

Politeknik Banting Selangor (PBS) turut berjaya memperbaiki kedudukan berbanding tahun lepas apabila berjaya melonjak ke tangga ke-819 berbanding tangga ke-888 yang dicatatkan pada tahun lepas.

Antara politeknik lain yang mendapat pengiktirafan adalah Politeknik Sebarang Perai (PS) yang mencatat kedudukan di kedudukan ke-551, Politeknik Mukah (PMU) di kedudukan ke 612 dan Politeknik Nilai (PNS) di kedudukan ke-965.

Kolej Komuniti membuat penampilan kali pertama apabila turut tersenarai dalam pengiktirafan dengan Kolej Komuniti Selayang berjaya mencapai kedudukan di tangga ke-705.

Selain itu, dua kolej komuniti lagi iaitu Kolej Komuniti Jasin dan Kolej Komuniti Bukit Beruang turut tersenarai dengan masing-masing berada di kedudukan ke-780 dan ke-964 bagi tahun 2022.

UIGM World University Ranking diperkenalkan oleh Universitas Indonesia untuk mengukur usaha kelestarian serta kemampanan kampus melalui enam kluster, iaitu Setting and Infrastructure, Waste, Water, Energy, Education and Research, dan Transportation.

Seiring dengan matlamat pembangunan mampan (SDG) yang diperkenalkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) sebagai salah satu institusi peneraju Technical and Vocational Education and Training (TVET) negara telah menghasilkan Blueprint SmartGreen PolyCC (BSGPC) 2021 – 2026.

Ianya adalah merupakan dokumen rangka tindakan yang mengandungi garis panduan pelaksanaan amalan hijau yang terancang melalui 7 bidang tumpuan, selaras dengan keperluan pengurusan dan operasi untuk tempoh masa yang ditetapkan.

BSGPC disediakan dengan hasrat untuk menjadikan politeknik dan kolej komuniti sebagai sebuah institusi mampan, unggul dan cemerlang di Malaysia.

BSGPC 2021 – 2026 boleh diperolehi di laman sesawang https://smartgreen.mypolycc.edu.my/v1/ dan ianya boleh menjadi sumber rujukan utama kepada seluruh warga polycc.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti