
Jendela Madani 5 Feb 2026





Pilihan Raya Kampus (PRK) Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS) 2026 melabuhkan tirai dengan mencatatkan peratusan mengundi luar biasa sebanyak 92.08 peratus, semalam.
Proses pengundian yang berlangsung di Dewan Sri Mas, POLIMAS bermula seawal jam 8.30 pagi dan berakhir jam 4.30 petang.
Keputusan rasmi pilihan raya tersebut telah diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Raya Kampus POLIMAS, Saiful Nizam Sa’ari yang juga Ketua Jabatan Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar.
Beliau mengesahkan bahawa daripada 3,029 pelajar yang layak, seramai 2,789 pelajar telah keluar mengundi untuk memilih barisan kepimpinan daripada 59 calon yang bertanding bagi merebut 27 kerusi strategik 7 Umum, 15 Sektor dan 5 Jabatan.
PEMENANG UNDI TERTINGGI
Kemuncak keputusan menyaksikan Muhammad Alif Luqman Mahadi muncul sebagai pemenang undi tertinggi kerusi umum dengan jumlah 306 undi.
Timbalan Pengarah Akademik POLIMAS, Dr. Mhd Azmin Mat Seman, menyatakan rasa bangga beliau terhadap komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh warga kampus.
“Kehadiran pemilih yang melebihi 92 peratus ini adalah bukti mahasiswa kita peka dengan tanggungjawab demokrasi. Ini selari dengan slogan ‘Dari Bintang Kampus ke Pemimpin Masa Hadapan,” katanya.
“Kita bukan sekadar mahu melahirkan graduan yang cemerlang akademik, tetapi pemimpin yang mempunyai mandat dan integriti,” ujar beliau.
TIDAK DAPAT MENYEMBUNYIKAN
Antara pelajar yang ditemui Ku Hanis Rusydina Ku Rosli dari kursus Asasi Teknologi Kejuruteraan mengakui tidak dapat menyembunyikan perasaan bangganya apabila berpeluang mengundi.
“Saya rasa sangat teruja dapat mengundi dan menjadi sebahagian daripada proses pemilihan pemimpin kami sendiri,” katanya.
Bagi Nurzulaikha Dania Afrina Zuhaimi, pelajar Diploma Pemasaran, pengalaman tersebut dirasai dengan penuh debaran.
MENGUNDI CALON PILIHAN
“Rasa berdebar juga untuk mengundi calon pilihan saya, tapi saya harap siapa pun yang menang dapat menjalankan amanah dengan baik,” ulasnya.
Sementara itu, dua pelajar Diploma Kejuruteraan Awam, Muhammad Airel Naufal Abd Rahman dan Ku Akmal Ridwan Ku Muhamad Zaidi, turut menyifatkan pengundian serentak seluruh Malaysia ini sebagai simbol solidariti rakan-rakan seperjuangan dalam menyokong arah yang bergelar calon.
Kejayaan PRK POLIMAS 2026 ini membuktikanmahasiswa kini semakin matang dalam berpolitik dan cakna dalam mencorakkan masa depan organisasi mereka selaras dengan aspirasi negara. – JM