Program Asasi TVET Dimensi Baharu Ekosistem TVET Negara

UKK JPPKK
07 June 2023
BERITA, Umum

4 Jun 2023, Kuala Lumpur – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) telah memperkenalkan program baharu yang dikenali sebagai Asasi TVET.

Majlis pelancaran program Asasi TVET telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin hari ini pada Majlis Penutup Jom Masuk U 2023 di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya (UM), disini.

Beliau berkata, program asasi sedia ada, kebanyakannya mengumpulkan penuntut dari pelbagai bidang dan tidak menjurus secara khusus kepada program TVET.

Asasi TVET merupakan persediaan khusus bagi pelajar lepasan SPM untuk menyambung pengajian selama setahun di mana-mana lima buah politeknik rintis sebelum mereka menyambung pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda di Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN).

“Ini bukan sahaja satu pengiktirafan khusus kepada program TVET, malah ia adalah satu laluan yang sistematik dan jelas bagi peringkat ijazah,” katanya.

Lima buah politeknik yang menawarkan Asasi TVET ini adalah Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS), Politeknik Tun Syed Nasir Syed Ismail (PTSN), Politeknik Merlimau Melaka (PMM), Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS) dan Politeknik Ungku Omar (PUO). Manakala bagi universiti di bawah MTUN pula adalah terdiri daripada Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan Universiti Malaysia Pahang (UMP).

Turut hadir, YB Dato’ Haji Mohammad Yusof bin Apdal, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YBhg. Datuk Dr. Mohd Zabri bin Yusoff, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan Dan Pembangunan) KPT, YBrs. Prof. Dr. Azlinda binti Azman, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, YBrs. Dr. Haji Mohd Zahari bin Ismail, Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Tan Sri Zarinah Anwar, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaya, YBhg. Professor Dato’ Ir. Dr. Mohd Hamdi Abd Shukor, Naib Canselor Universiti Malaya serta pegawai-pegawai kementerian yang lain.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti