
IPOH, 3 April 2026 – Program dua hari libatkan 800 peserta, tekankan keseimbangan kerjaya dan kesihatan mental melalui kolaborasi strategik bersama industri. Politeknik Ungku Omar (PUO) terus mengorak langkah progresif dalam pembangunan modal insan apabila berjaya menganjurkan program ‘Career Compass @ PUO 2026: Balancing Ambition, Mental Health and Well-Being’ pada 1 hingga 2 April 2026 bertempat di kampusnya.
Mengangkat pendekatan holistik, program ini dirangka sebagai platform bersepadu yang menghubungkan pelajar dengan industri, di samping menekankan kepentingan keseimbangan antara kecemerlangan kerjaya, kesihatan mental serta kesejahteraan diri dalam menghadapi cabaran dunia pekerjaan yang semakin dinamik.
Dalam ucapan perasmiannya, Dr. Hajah Salmi menegaskan :-
“Kejayaan seorang graduan tidak hanya diukur melalui kecemerlangan akademik, tetapi juga melalui ketahanan mental dan keupayaan mengimbangi tuntutan kerjaya dengan kesejahteraan diri. Inisiatif ini mencerminkan komitmen PUO dalam melahirkan modal insan yang kompeten, berdaya tahan dan lestari,” ujar beliau.
Sepanjang dua hari penganjuran, pelbagai pengisian bernilai tinggi telah dilaksanakan, termasuk sesi temuduga terbuka, pameran kerjaya, kursus kesihatan mental, serta Forum CEO@PolyCC yang membincangkan trend kerjaya masa hadapan dan keseimbangan hidup-bekerja.
Program ini turut disokong oleh penyertaan pelbagai agensi utama seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), PERKESO, KWSP dan TalentCorp yang menyediakan pendedahan menyeluruh berkaitan sokongan sosial dan pembangunan kerjaya kepada para pelajar.
Kemuncak program menyaksikan Majlis Menandatangani Surat Hasrat (Letter of Intent, LOI) dan pertukaran dokumen bersama 11 rakan industri strategik, sekali gus memperkukuh kerjasama dalam aspek latihan industri dan peningkatan kebolehpasaran graduan.
Antara organisasi terlibat termasuk D Muz Global Resources, OnMind Consulting, Vertical Greenfield Sdn. Bhd., ORS Technologies, Malaysian Institute of Road Safety Research (MIROS), AG Fast Solution, Ezidea Solutions Sdn. Bhd., Favotech System Sdn. Bhd., Isticomm Solutions Sdn. Bhd., Maritime Strategic Association of Malaysia (MASTRA) serta Pelurus Maritime Sdn. Bhd.
Turut hadir memeriahkan program ialah YBrs. Dr. Abdul Jalil Hassan, Pengarah Bahagian Pengurusan Psikologi, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), sebagai tanda sokongan terhadap usaha memperkukuh kesejahteraan mental dalam kalangan bakal tenaga kerja negara.
Penganjuran program ini bukan sahaja memperkukuh jaringan strategik antara institusi dan industri, malah mengukuhkan peranan PUO sebagai institusi TVET peneraju dalam melahirkan graduan yang berdaya saing, seimbang dari segi emosi dan bersedia mendepani cabaran global.
Seiring penglibatan komuniti setempat, inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan PUO dalam menyokong agenda pembangunan modal insan negara yang inklusif dan mampan.
