

SEBERANG PERAI, 2 September 2026 – Kolej Komuniti Seberang Jaya terus memperkukuh komitmen terhadap kelestarian alam sekitar menerusi penyertaan dalam Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Anak Muda Cakna Alam (Projek Pembersihan Pesisir Pantai) yang berlangsung di Monkey Beach, Pulau Pinang.
Program yang melibatkan aktiviti gotong-royong pembersihan pesisir pantai ini bertujuan memupuk kesedaran dan rasa tanggungjawab terhadap alam sekitar dalam kalangan generasi muda, di samping menyemai semangat kesukarelawanan serta kerjasama berpasukan dalam usaha memelihara kebersihan dan ekosistem marin.
Kolej Komuniti Seberang Jaya telah diwakili oleh Pn. Aslina binti Abrain, Ketua Program Diploma Teknologi Elektronik Instrumentasi, yang mengambil inisiatif untuk menjayakan program CSR tersebut bersama para pelajar.
Seramai 22 orang pelajar Diploma Teknologi Elektronik Instrumentasi telah menyertai aktiviti pembersihan yang melibatkan pengumpulan pelbagai jenis sisa buangan, khususnya bahan plastik dan botol yang terdapat di sepanjang pesisir pantai.
Penglibatan para pelajar dalam aktiviti ini bukan sahaja memberikan pengalaman dalam aktiviti kesukarelawanan, malah turut meningkatkan kesedaran mereka terhadap kepentingan menjaga kebersihan pantai dan melindungi kelestarian ekosistem laut.
Program ini mencerminkan komitmen Kolej Komuniti Seberang Jaya dalam melahirkan generasi muda yang cakna terhadap isu alam sekitar serta mempunyai nilai tanggungjawab sosial yang tinggi.

