Program CSR x Rekreasi Permata Camar Serlahkan Semangat Kepedulian Sosial Pelajar PMS

POLITEKNIK MUADZAM SHAH
17 November 2025
BERITA, Komuniti, Uncategorized

KUANTAN, 15 November 2025 – Program CSR x Rekreasi Permata Camar anjuran pelajar Diploma Pelancongan Rekreasi, Politeknik Muadzam Shah (PMS) telah berjaya dilaksanakan di Kompleks Anak Yatim & Miskin Permata Camar, sekali gus memperlihatkan komitmen tinggi pelajar dalam memupuk nilai kepedulian sosial serta meningkatkan keterlibatan mereka dalam program berasaskan komuniti. Program ini merangkumi pelbagai aktiviti pendidikan, rekreasi dan khidmat masyarakat yang dirangka bagi memperkukuh sahsiah, kemahiran insaniah serta rasa tanggungjawab sosial dalam kalangan pelajar. Ia dijalankan di bawah bimbingan Puan Nur Shafinda Wani binti Shaikh Azmee, dengan penyertaan 12 orang urusetia Semester 4 dan 15 orang sukarelawan, serta merupakan komponen penting akademik kursus DTO40083 – Recreational Planning & Programming.

Sepanjang program berlangsung, peserta telah menjalankan sesi perkongsian ilmu bersama penghuni Permata Camar yang merangkumi latihan Bantuan Awal Kecemasan, teknik asas pemasangan khemah serta demonstrasi ikatan tali, yang bukan sahaja memberi ilmu berguna kepada penghuni, malah turut mengasah kemahiran penyampaian dan kepimpinan pelajar. Aktiviti CSR turut dijalankan melalui pembersihan kawasan surau dan penanaman 30 anak pokok jasmin putih, sebagai simbolik kepada usaha menghijaukan kawasan serta menyumbang kepada kelestarian persekitaran komuniti tersebut.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Puan Nur Fadillah binti Mat Ariffin, Ketua Jabatan Pelancongan & Hospitaliti, bersama Tuan Haji Abdul Rahman bin Abdullah, Setiausaha Permata Camar. Turut hadir memberi sokongan ialah Encik Mohd Rahimi bin Mohd Shahimi dan Encik Nur Muhammad Fuad Farizul bin Che Pak, yang turut menyampaikan sesi pendidikan berkaitan Bantuan Awal Kecemasan.

Program ini bukan sahaja memberikan pendedahan secara langsung kepada pelajar mengenai aplikasi ilmu dalam situasi sebenar, malah membawa manfaat besar kepada penghuni Permata Camar melalui pendekatan mesra komuniti yang dijalankan. Diharapkan usaha sebegini dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai platform pengukuhan hubungan komuniti, pembangunan nilai insaniah dan peningkatan kompetensi pelajar PMS secara holistik.

Sesi bergambar setelah selesai Program CSR x Rekreasi Permata Camar anjuran pelajar Diploma Pelancongan Rekreasi, Politeknik Muadzam Shah (PMS) 

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti