Program Ihya Ramadan asah bakat kepimpinan pelajar

KOLEJ KOMUNITI TANGGA BATU
13 May 2024
Aktiviti Pelajar

1 April 2024,  Klebang Besar – Kolej Komuniti Tangga Batu (KKTB) melalui Unit Hal Ehwal Pelajar telah merancang pelbagai aktiviti sempena Program Ihya Ramadan 1445/2024. Ramadan merupakan bulan yang dinanti dan dirindui oleh semua umat Islam yang ingin merebut keberkatan di bulan yang penuh rahmat dan berkat ini.

Objektif utama program ini bertujuan menggalakkan warga KKTB menghayati bulan Ramadan sebagai bulan ibadat dan kebajikan serta keprihatinan kepada umat islam di komuniti setempat. Ianya selaras dengan Pelan Strategik KKTB 2023-2025 “Melahirkan Graduan TVET Berkualiti” melalui penglibatan pelajar dalam program yang bersifat holistik. Selain itu, KKTB juga berusaha untuk mewujudkan aktiviti yang mampu menginsankan pelajar dan membangunkan potensi diri pelajar melalui penglibatan pelajar dalam aktiviti berbentuk kesukarelawanan dan kepimpinan.

Program telah bermula pada 13 Mac dengan aktiviti Solat Zuhur Berjemaah Di KKTB setiap hari Isnin, Selasa & Khamis yang dikendalikan oleh pelajar sebagai imam dan bilal mampu mengasah bakat pelajar aspek kepimpinan. Di samping itu, aktiviti Masjid Tour yang dilaksanakan setiap hari Rabu sepanjang Ramadan pula telah memberi pendedahan kepada pelajar yang sedang mengikuti Program Pengembaraan Pelancongan di KKTB berkaitan masjid yang menjadi tumpuan pelancong baik dari dalam atau luar negara di Melaka. Ianya sejajar dengan hasrat kerajaan negeri Melaka yang giat mempromosikan Melaka sebagai destinasi pelancongan mesra-Muslim bagi menarik kehadiran pelancong dalam sub sektor pelancongan agama.

Program Ihya Ramadan kali ini memberikan impak yang besar kepada warga KKTB amnya dan Kolej Komuniti Melaka khususnya, aktiviti Quran Hour Peringkat Kolej Komuniti Melaka 2024 telah dilaksanakan pada 29 Mac berkonsepkan hibrid. Aktiviti yang dianjurkan secara bersama oleh enam buah Kolej Komuniti Melaka dan dikelolai oleh KKTB sebagai penganjur utama. Seramai 301 penyertaan dari enam buah warga Kolej Komuniti Melaka antaranya Kolej Komuniti Tangga Batu, Kolej Komuniti Kota Melaka, Kolej Komuniti Masjid Tanah, Kolej Komuniti Bukit Beruang, Kolej Komuniti Selandar dan Kolej Komuniti Jasin. Manakala Qari bagi aktiviti tersebut merupakan pelajar KKTB yang mempunyai latar belakang hafiz al Quran dan memilih institusi TVET sebagai laluan pendidikan tinggi mereka.

Seterusnya, pendekatan kluster kesukarelawan dianjurkan KKTB bagi Ramadan tahun ini perlu diubah daripada bentuk khidmat masyarakat kepada program pembabitan masyarakat. Aktiviti yang diberi nama Infak Kasih Ramadan melibatkan komuniti Surau An-Naim dan komuniti Taman Sayang Selasih bersama warga KKTB menghasilkan biskut raya untuk diserahkan kepada Rumah Anak Yatim Sultan Abdul Aziz Shah Al-haj (RAYSAS). Tambahan lagi, KKTB juga bekerjasama dengan pihak jawatankuasa Surau An-Naim untuk membuat kutipan sumbangan duit raya yang akan diserahkan kepada penghuni RAYSAS. Majlis penyerahan sumbangan disempurnakan oleh Pengarah KKTB, Puan Sharini Bt Zakaria bersama Pengerusi Surau An-Naim Tn. Haji Pardan Bin Moslem dan ahli rombongan terdiri dairpada staf dan Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP) KKTB.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti