Program jelajah PAM 2025 dedah pelajar kepada hala tuju kerjaya dalam bidang seni bina

KOLEJ KOMUNITI KUCHING
07 October 2025
Akademik, BERITA

KUCHING, 7 Oktober – Seramai 120 orang pelajar Sijil Teknologi Senibina, Kolej Komuniti Kuching telah menyertai program jelajah Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM) dan ceramah kerjaya 2025 yang bertujuan memberi pendedahan awal mengenai profesion seni bina serta laluan kerjaya dalam bidang tersebut yang berlangsung di Dewan Serbaguna Institusi di sini, baru-baru ini.

Menurut Ketua Program Teknologi Senibina, Mohd. Zulkarnain Salehudin bahawa program ini diadakan bagi memperkasa pemahaman pelajar terhadap struktur pendidikan dan akreditasi profesional yang ditetapkan oleh Lembaga Arkitek Malaysia (LAM) dan Majlis Akreditasi dan Pendidikan Senibina Malaysia (MAPSM).

“Pendedahan seperti ini amat penting bagi membantu pelajar memahami keperluan serta standard yang perlu dipatuhi oleh bakal profesional seni bina.

Melalui sesi taklimat dan perkongsian kerjaya yang disampaikan oleh wakil daripada Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM), para pelajar didedahkan kepada realiti industri seni bina, keperluan etika profesion, serta peluang kerjaya yang luas dalam bidang ini,” kata Mohd. Zulkarnain.

“Program ini turut memberi penjelasan mengenai laluan pendidikan selepas menamatkan pengajian di Kolej Komuniti, termasuk peluang melanjutkan pengajian ke peringkat diploma dan ijazah yang diiktiraf LAM Bahagian I dan II.

“Pelajar juga berpeluang berinteraksi secara langsung dengan arkitek profesional dan alumni yang kini berkhidmat dalam industri pembinaan dan reka bentuk di Sarawak.

“Selain daripada itu, penganjuran program seperti ini bukan sahaja membantu memperkukuh aspirasi akademik pelajar, tetapi juga memberi inspirasi untuk terus maju dalam bidang seni bina yang mencabar dan kompetitif,” jelas beliau lagi.

Terdahulu Presiden PAM, Prof. Adj. Ar. Adrianta Aziz turut berpeluang memberi ceramah yang membuka minda pelajar terhadap kepentingan ilmu, kemahiran dan etika dalam membentuk masa depan mereka sebagai tenaga profesional seni bina negara.

Hadir sama ialah Timbalan Pengarah Akademik (TPA) iaitu Nurul Hidayah Yussof dan Pengarah Program Ledia Angul.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti