Program Jiwa Murni rapatkan hubungan ATM, pelajar POLIMAS

POLITEKNIK SULTAN ABDUL HALIM MUADZAM SHAH
18 December 2024
BERITA

jendelamadani.net, 13 November 2024

Program Jiwa Murni oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diharap akan mampu merapatkan hubungan pihak ini dengan pelajar Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, (POLIMAS), Jitra, Kedah.

Ketua Pegawai Pergigian 2 Divisyen, Kolonel Dr Nik Seridaiyan Nik Omar Al-Haded berkata, walaupun negara sudah aman tetapi menerusi program khidmat masyarakat seperti ini memberikan manfaat kepada rakyat, selain dapat mengeratkan hubungan anggota keselamatan dengan masyarakat setempat dan juga pelajar.

“Hari ini, program Jiwa Murni turut menjadi ruang terbaik untuk ATM mempromosikan peluang kerjaya yang disediakan kepada belia yang bersemangat untuk turut menyumbang bakti mempertahankan kedaulatan negara,” katanya.
 
Beliau berkata demikian pada program Jiwa Murni (Promosi Kesihatan Pergigian) ketika memberikan ucapan aluan kepada 253 pelajar semester 1 yang terlibat dengan badan beruniform anjuran bersama 614, Pusat Pergigian Angkatan Tentera, Kem Lapangan Terbang Sungai Petani, Kedah bersama POLIMAS di Dewan Kuliah 1, POLIMAS.

PENJAGAAN KESIHATAN PERGIGIAN

Menurut beliau lagi, tujuan utama program ini untuk memupuk dan meningkatkan kesedaran penjagaan kesihatan pergigian di kalangan pelajar dan pengajar.

Selain itu katanya, pihaknya juga merancang untuk memberi penekanan tentang kesedaran mengenai kepentingan rawatan ortodontik seperti bahaya memakai “fake braces” di kalangan pelajar oleh Pakar Pergigian Ortodontik.
 
Sementara itu Timbalan Pengarah Akademik POLIMAS, Dr Mhd Azmin Mat Seman ketika merasmikan program berkata, POLIMAS sangat berterima kasih kepada pihak ATM kerana julung-julung kali menganjurkan program seperti ini di POLIMAS.

Beliau berkata, program
ini membolehkan pelajar-pelajar POLIMAS mendapatkan perkhidmatan dan nasihat dalam penjagaan kesihatan gigi secara percuma di samping pendedahan kerjaya sebagai pegawai tentera kepada pelajar.

MENANAMKAN SEMANGAT PATRIOTIK

“Ini penting agar dapat menanamkan semangat patriotik terhadap negara kepada para pelajar,” katanya.

Beliau juga merakamkan ucapan terima kasih kepada ATM kerana sentiasa memberikan latihan dan ilmu baru pada pelatih askar wataniah di POLIMAS.
 
Salah seorang pelajar yang ditemui, Megat Bazli Syah Baddrul Hisyam yang
merupakan anggota askar wataniah POLIMAS berkata, program yang dianjurkan oleh ATM ini amat bermakna kerana mendapat banyak pengetahuan tentang penjagaan gigi.

“Saya juga mendapat gambaran jelas bagaimana kerjaya sebagai anggota tentera dan keistimewaan yang tersedia sebagai anggota tentera,” katanya.

BANYAK PENGETAHUAN BAHARU

Fatin Syahirah Mohamad Sarudin, pelajar POLIMAS dari pasukan beruniform Relasis berkata, banyak pengetahuan baharu mengenai penjagaan gigi yang diperoleh
melalui ceramah yang disampaikan dalam program ini.

“Harapan saya semoga program seperti ini akan diadakan lagi pada tahun hadapan,” tambahnya.
 
Turut hadir, ⁠Leftenan Kolonel (Dr) Naili Hayati Abdul Mukti, Pegawai Pemerintah, Pusat Pergigian Angkatan Tentera Sungai Petani, ⁠Leftenan Kolonel (Dr) Siti Haurul Ain Sheikh Aladin, Pegawai Pemerintah 622 Pusat Pergigian Angkatan Tentera Alor Setar dan Ketua Jabatan Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar POLIMAS, Muhammad Nasir Zain. – JM

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti