
JAKARTA, 06 April 2026 – PROGRAM LOCAL WISDOM, GLOBAL VISION: COMMUNITY-BASED TOURISM STUDY TRIP KE JAKARTA, INDONESIA
Program tersebut melibatkan kursus DTM50463 dan DTM50182 Community-Based Tourism telah berjaya dilaksanakan menerusi program “Local Wisdom, Global Vision: Community-Based Tourism Study Trip to Jakarta, Indonesia” yang berlangsung baru-baru ini di sekitar Jakarta dan Bandung, Indonesia. Program ini melibatkan seramai 33 orang pelajar dan dianjurkan bagi memenuhi keperluan penilaian projek akhir kursus di samping memberikan pendedahan praktikal kepada pelajar dalam konteks industri pelancongan antarabangsa.
Program ini berada di bawah seliaan Ts. Dr. Tshin Lip Vui, Cik Siti Nurkhairunnisa binti Alias, Cik Audrey Fiona Kinson dan Encik Mohd Daniel bin Ali. Bimbingan dan komitmen para pensyarah telah memastikan setiap aktiviti sepanjang program berjalan dengan lancar dan berkesan.
Sepanjang program berlangsung, pelajar telah melaksanakan pelbagai aktiviti di beberapa lokasi terpilih sekitar Jakarta dan Bandung. Antaranya termasuk lawatan ke destinasi pelancongan berasaskan komuniti, sesi interaksi bersama pengusaha tempatan serta penglibatan dalam aktiviti kebudayaan setempat. Pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman ini membolehkan pelajar memahami konsep pelancongan lestari dengan lebih mendalam serta menghargai keunikan budaya dan kearifan tempatan.
Selain itu, pelajar turut menyertai pertandingan antarabangsa anjuran Politeknik Negeri Jakarta, iaitu International Youth Talk dan Global Knowledge Challenge (GKC). Penyertaan ini memberi peluang kepada pelajar untuk mengetengahkan idea, meningkatkan keyakinan diri serta mengasah kemahiran komunikasi di peringkat global.
Pencapaian pelajar Politeknik Tawau Sabah dalam pertandingan tersebut amat membanggakan. Dalam International Youth Talk, Maxwins Macennzie telah dinobatkan sebagai juara manakala Sherlyn Henry berjaya meraih tempat pertama naib juara. Bagi pertandingan Global Knowledge Challenge (GKC) pula, Muhammad Rifaldy Bin Osman telah memenangi tempat pertama naib juara dan Nur Az-Zahra Binti Salleh memperoleh tempat kedua naib juara.
Secara keseluruhannya, program ini bukan sahaja berjaya mencapai objektif akademik, malah turut memperkukuh kemahiran insaniah pelajar seperti komunikasi, kepimpinan, kerja berpasukan serta keupayaan beradaptasi dalam persekitaran antarabangsa. Program ini juga berjaya memperkukuh jaringan kerjasama antara institusi serta menyokong pembangunan graduan yang berdaya saing dan berwawasan global.
