
Kuala Terengganu, 16 Jun 2026 – Program Pengukuhan Bakat Komuniti 2026 amat bertepatan dengan aspirasi Malaysia MADANI yang memfokuskan kepada pemerkasaan komuniti khususnya dalam meningkatkan taraf hidup, kata Pengarah Kolej Komuniti Kuala Terengganu Suhaimi Yajid.
“Saya yakin bahawa Program Pengukuhan Bakat Komuniti 2026 akan menjadi platform yang signifikan dalam melahirkan komuniti yang lebih berkemahiran, berdaya tahan, berinovasi dan berdaya saing” katanya di Program Pengukuhan Bakat Komuniti 2026: Kursus Silk Screen, Keusahawanan dan Kecerdasan Buatan (AI) di Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Terengganu, di sini kelmarin.
Program anjuran Kolej Komuniti Kuala Terengganu kerjasama Kraftangan Malaysia Cawangan Terengganu serta Persatuan Pengusaha dan Perniaga Batik Negeri Terengganu (PEMBATIK) selama empat hari dari 14 hingga 17 Jun ini melibatkan penyertaan seramai 38 orang peserta, bertujuan melahirkan individu yang berkemahiran, inovatif, berdaya saing seterusnya menjadi pemangkin kepada pembangunan industri kreatif serta pemerkasaan ekonomi komuniti pada masa hadapan.
Melalui gabungan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), keusahawanan, warisan kreatif dan teknologi digital, ia bukan sahaja menyokong agenda Malaysia MADANI, malah menyumbang kepada pembangunan modal insan yang mampu menerajui transformasi ekonomi negara pada masa hadapan.
Peserta didedahkan dengan teknik pembuatan silk screen (skrin sutera) secara teori dan amali, termasuk penyediaan peralatan, penggunaan emulsi dan teknik percetakan pada pelbagai produk dan dalam pada masa yang sama memberi fokus kepada pengiraan kos, penetapan harga dan strategi pemasaran produk.
Program ini dijangka memberi impak positif kepada peserta dengan meningkatkan kecekapan pengeluaran produk, memperluas peluang penjanaan pendapatan serta menyokong pemerkasaan ekonomi komuniti selain membantu memperkukuh kelestarian industri kreatif dan batik tempatan melalui penerapan teknologi moden dan inovasi digital.

Sumber: MalaysiaAktif