Program ‘PKB Future Leaders’ Beri Peluang Pelajar Kenali Pemimpin Negara Dengan Lebih Dekat

POLITEKNIK KOTA BHARU
03 April 2023
Aktiviti Pelajar

20 Mac 2023, Kuala Lumpur  – Dalam usaha memberi pendedahan pengalaman sebenar pemimpin negara kepada pelajar dengan lebih dekat, Unit Komunikasi dan Hubungan Korporat bersama Jabatan Hal Ehwal Pelajar serta Jabatan Sukan, Kokurikulum dan Kebudayaan, Politeknik Kota Bharu (PKB) telah menganjurkan Program ‘PKB Future Leaders’ selama dua hari mulai 20 – 21 Mac 2023 bertempat di Parlimen Malaysia di ibu negara. Program ini yang mempunyai beberapa sesi dan aktiviti disertai oleh 29 orang pelajar dari Majlis Perwakilan Pelajar dan Sekretariat Rakan Muda Politeknik Kota Bharu beserta 6 orang pegawai.

Pelajar dapat mengikuti pembelajaran melalui pengalaman secara realiti bagaimana untuk membina karisma dan keterampilan sebagai seorang pemimpin. Dalam masa yang sama, mereka memahami lebih mendalam bagaimana ahli parlimen berbahas mewakili suara rakyat di dalam Dewan Rakyat dan Dewan Negara selain memahami sesebuah dasar dan undang – undang dibentuk di negara ini.

Pelajar juga berpeluang mengikuti perbahasan ahli parlimen dalam Dewan Rakyat yang mana pelajar telah diberikan masa selama 30 minit untuk menyaksikan dan mendengar sendiri perbahasan yang sedang berlangsung dan turut dibawa melawat ke sekitar bangunan mercu tanda Perlembagaan Malaysia ini.

Pelajar turut beramah Mesra bersama Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’
Hj. Mohammad Yusof bin Apdal yang diadakan secara ringkas di perkarangan Lobi Dewan Rakyat. Beliau sempat berkongsi tentang pengalaman beliau sebagai ahli parlimen Lahad Datu dan juga sebagai Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi.

Seterusnya para peserta dibawa mengikuti sesi Dailog Bersama Setiausaha Dewan Negara, dalam sesi ini para pelajar berpeluang berjumpa dan mendengar perkongsian daripada Setiausaha Dewan Negara, YBrs. Tuan Sujairi bin Abdullah.

Menurut Nadiya Haneem Zaminudin, selaku Pengarah Program ini berkata secara keseluruhan para pelajar amat teruja kerana diberi peluang menyaksikan sesi perbahasan di dalam dewan dan memahami betapa pentingnya menguasai kemahiran berbahas dan mengutarakan pandangan serta pendapat. Para pelajar juga sedar tentang pentingnya keterampilan seorang pemimpin yang berkarisma.

Bagi Muhammad Syauki Haikal Abdul Samad, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) PKB berkata beliau amat teruja kerana ini pertama kali menjejakkan kaki ke Parlimen Malaysia.

“Saya tidak sangka dapat bersua dan bertegur sapa dengan Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim dan saya dapat melihat dan merasai aura karisma pemimpin nombor satu negara tersebut”.

Dalam program yang sama turut diadakan lawatan sambil belajar ke Kompleks Pentadbiran Kerajaan dan juga Nasyrul Quran di Putrajaya yang merupakan kilang membuat Percetakan Al – Quran kedua terbesar di dunia serta Pusat Sains Negara di Kuala Lumpur.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti