
SUNGAI PETANI, 10 Mac 2026 – Pelajar Kolej Komuniti Sungai Petani terus diberi pendedahan kepada pengalaman pembelajaran sebenar apabila Program Pembelajaran Autentik BAPP melalui Projek Biskut Raya berjaya dilaksanakan dengan penglibatan pelajar daripada kelas Sijil Khas Pastri Semester 1 dan pelajar kelas Sijil Kulinari semester 3.
Program ini memberi peluang kepada para pelajar untuk mengaplikasikan pengetahuan teori kepada situasi sebenar melalui aktiviti penyediaan dan penghasilan biskut raya.
Pendekatan pembelajaran autentik ini dilihat mampu meningkatkan kemahiran praktikal pelajar selain membentuk sikap bekerjasama, kreativiti serta disiplin dalam penghasilan produk makanan.
Sepanjang program berlangsung, para pelajar terlibat secara langsung dalam setiap proses penghasilan biskut raya bermula daripada penyediaan bahan, teknik pembuatan, proses membakar sehingga kepada pembungkusan produk.
Aktiviti ini turut memberi pendedahan awal kepada aspek keusahawanan yang boleh dimanfaatkan oleh pelajar sebagai peluang menjana pendapatan. Menurut penyelaras program, aktiviti seperti ini bukan sahaja memberi pengalaman pembelajaran yang lebih bermakna, malah membantu pelajar memahami situasi sebenar industri makanan dan keperluan pasaran, khususnya menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Program ini juga selari dengan usaha institusi dalam memperkasakan pendidikan berasaskan kemahiran serta memperkukuh pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman (experiential learning) dalam kalangan pelajar TVET.
Melalui penganjuran program seperti ini, diharapkan para pelajar dapat meningkatkan keyakinan diri, menguasai kemahiran praktikal serta membina minat dalam bidang keusahawanan makanan pada masa hadapan.
