PSH pupuk kemahiran pelbagai peringkat usia

KOLEJ KOMUNITI MASJID TANAH
01 November 2023
Lain-Lain

Melaka Hari Ini, 16 Oktober 2023

MASJID TANAH 16 Oktober – Karnival Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) Komuniti Madani mampu memperkasa pembangunan kemahiran selain mengubah masyarakat untuk lebih kompetitif dan berdaya maju.

Pada karnival anjuran Unit PSH, Kolej Komuniti Masjid Tanah (KKMT) itu disertai oleh seramai 100 peserta di sekitar kawasan itu selain beberapa peserta daripada daerah lain.

Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Rosli Abdullah pada ucapannya berkata, karnival yang dianjurkan itu bukan program biasa sebaliknya satu manifestasi jelas memperkasa pendidikan kemahiran dalam komuniti.

Katanya, bagi memastikan pembangunan itu dicapai, masyarakat perlu berusaha untuk menyokong penganjuran program diadakan bagi mengembangkan potensi diri dan memanfaatkan ilmu diperolehi.

“Semua lapisan masyarakat perlu memberi sokongan dan merebut peluang untuk terus belajar kemahiran baharu selain meningkatkan potensi diri demi memperkasa ekonomi keluarga dan komunit dalam
pelbagai aktiviti dan kursus-kursus kemahiran yang di tawarkan di KKMT ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Karnival PSH di KKMT di sini, pada Sabtu yang turut dihadiri Pengarah KKMT, Zaidi Othman.

Dalam pada itu, Zaidi berkata, sebagai hab PSH, KKMT telah memberi latihan kepada lebih 52,398 peserta terdiri pelbagai peringkat umur setakat ini dalam 2,698 kursus serta latihan yang ditawarkan.

“Menerusi PSH, pendidikan tidak hanya terhad kepada usia muda, tetapi perlu dilanjutkan sepanjang hayat,” katanya.

Karnival PSH Komuniti Madani merupakan sebuah program kursus pendek yang dijalankan serentak di kolej komuniti seluruh Malaysia untuk disenaraikan dalam Malaysia Book of Records (MBOR) dengan jumlah penyertaan seramai 14,545 peserta. Kolej Komuniti Masjid Tanah menawarkan lima kursus percuma kepada peserta iaitu Urutan Badan Wanita; Gunting Rambut Lelaki; Penghasilan Cendawan; Sabun Kraftangan (Melt & Pour); dan Kek Lapis Sarawak Sinu Ngenang.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti