PTSB anjur Karnival Pengajian Tinggi Kulim 2026, perkasa akses maklumat dan peluang TVET

POLITEKNIK TUANKU SULTANAH BAHIYAH
06 April 2026
Aktiviti Pelajar

KULIM, 6 April 2026 – “Saya lebih jelas tentang pilihan selepas SPM apabila dapat berjumpa terus dengan wakil institusi dan bertanya sendiri, terutamanya mengenai program di Politeknik,” ujar Nur Aisyah, lepasan SPM 2025 yang hadir bersama ibu bapanya ke Karnival Pengajian Tinggi Kulim 2026.

Karnival yang berlangsung pada 5 dan 6 April 2026 di Dewan Muadzam Shah, Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) itu menghimpunkan pelbagai institusi pendidikan tinggi dan latihan kemahiran dalam satu platform bersepadu, dengan penekanan khusus kepada laluan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) melalui Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC).

Program ini menyasarkan lepasan SPM dan STPM 2025, lepasan diploma dan matrikulasi, calon SPM 2026 serta komuniti termasuk guru, kaunselor dan ibu bapa dalam usaha memberikan pendedahan menyeluruh mengenai peluang melanjutkan pengajian dan hala tuju kerjaya.

Menurut Timbalan Pengarah Sokongan Akademik PTSB, Dr. Hj. Samsul Abdul Rashid, penganjuran karnival ini bertujuan menjadi pusat setempat kepada masyarakat untuk mendapatkan maklumat pendidikan secara tepat dan terus daripada sumber yang sahih.

“POLYCC menawarkan pelbagai program TVET yang relevan dengan keperluan industri serta membuka peluang kerjaya yang luas kepada graduan,” katanya.

Antara pengisian utama termasuk pameran pendidikan melibatkan institusi awam dan swasta, institusi latihan kemahiran serta agensi berkaitan, selain sesi bimbingan kaunseling, konsultasi kewangan meliputi biasiswa dan pinjaman, kaunter pengisian UPU Online serta pembukaan akaun SSPN dan PTPTN.

Penganjuran ini dilihat mampu membantu pelajar dan komuniti membuat keputusan pendidikan yang lebih tersusun, seterusnya merancang masa depan melalui laluan TVET yang berdaya saing.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti