PTSB Sasar Peningkatan Graduan melalui Kerjasama dengan Bina Darulaman

POLITEKNIK TUANKU SULTANAH BAHIYAH
18 February 2025
Industri, Penyelidikan dan Inovasi, Umum

LANGKAWI – Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) mengukuhkan kerjasama dengan Bina Darulaman Berhad (BDB) melalui penandatanganan Surat Hasrat bertujuan untuk mempererat hubungan antara akademia dan industri. Majlis pertukaran dokumen ini diadakan sempena Majlis Perasmian Karnival TVET POLYCC 2025 di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC), Langkawi.

Penyerahan dokumen kerjasama ini disempurnakan oleh Yang Berusaha Haji Mohd Ruzi Hamzah, Pengarah PTSB bersama Encik Mohd Taufik bin Abdullah, Ketua Pegawai Sumber Manusia BDB. Majlis turut disaksikan oleh Yang Berhormat Datuk Ts. Mustapha Sakmud, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi serta Yang Berbahagia Dato’ Dr. Haji Mohd Zahari Ismail, Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti. Turut hadir adalah wakil industri dari dalam dan luar negara serta komuniti POLYCC seluruh Malaysia.

Kerjasama ini berfokus kepada perkongsian ilmu, kepakaran, peralatan dan fasiliti antara PTSB dan BDB. Ia juga melibatkan pembangunan silibus, latihan serta pensijilan professional yang diharap dapat mempercepatkan pengiktirafan dalam penyelidikan, inovasi dan pengkomersialan. Selain itu, pelaksanaan kursus Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH), aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) serta peluang latihan industri bagi pelajar dan pensyarah turut dijalankan sebagai sebahagian daripada inisiatif ini.

Menurut Ketua Corporate Industry Services and Employability Center (CISEC), Puan Nurhaida Abdullah Hadi, kolaborasi strategik ini selaras dengan usaha PTSB dalam melahirkan graduan yang berdaya saing dan memenuhi keperluan industri.

“Dengan kerjasama ini, kami berharap dapat membuka lebih banyak peluang untuk meningkatkan kemahiran dan kebolehpasaran graduan serta memperkukuh hubungan antara sektor pendidikan dan industri yang kian berkembang,” ujarnya.

Karnival TVET POLYCC 2025 turut memberi peluang kepada peserta dan pengunjung untuk berinteraksi dengan wakil industri dan mendalami lebih lanjut mengenai bidang pendidikan teknikal dan vokasional. Program ini memberi impak positif kepada pembangunan kemahiran dan keusahawanan terutamanya dalam kalangan pelajar.

Sinergi yang wujud antara PTSB dan BDB membuktikan komitmen kedua-dua pihak dalam menggalakkan kerjasama yang saling menguntungkan demi pembangunan pendidikan dan industri. PTSB berharap kerjasama ini akan terus membuka ruang bagi perkembangan akademik dan industri pada masa hadapan.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti