
Vietnam, 9 April 2026 – Pelajar Diploma Pengurusan Pelancongan (DUP 4B), Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti, Politeknik Muadzam Shah (PMS) berjaya melaksanakan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) menerusi Seeds of Change: International TVET Edutourism & Community Outreach Expedition Vietnam di Indigo Snail Homestay, Kampung Ta Van, Sa Pa, Vietnam.

Program ini dijalankan dengan kerjasama organisasi bukan kerajaan (NGO), Sapa O’Chau dan dipimpin oleh pensyarah kursus DTM40384 Tourism Expedition, Cik Maisarah binti Awang. Turut mengiringi program ialah Dr Nornajiha binti Kamdi, Dr Norhaslin binti Abu Hassan dan Puan Nur Faizah binti Zam Zam yang memastikan kelancaran pelaksanaan sepanjang ekspedisi.
Antara pengisian utama ialah bengkel bertajuk “English for Hospitality: A Starter Guide” yang bertujuan memperkasa komuniti Hmong dengan kemahiran komunikasi asas bagi membuka peluang dalam industri hospitaliti.
Selain itu, pelajar turut memperkenalkan budaya Malaysia melalui aktiviti interaktif seperti permainan tradisional batu seremban dan capteh serta aktiviti mewarna batik secara langsung. Sambutan menggalakkan daripada komuniti setempat membuktikan bahawa pertukaran budaya mampu merapatkan hubungan merentasi sempadan.

Kemuncak program menyaksikan persembahan kebudayaan yang menampilkan tarian Melayu, Cina dan India, sekali gus memperkenalkan kepelbagaian budaya Malaysia kepada komuniti antarabangsa.
Pihak PMS turut merakamkan penghargaan kepada Pengarah Sapa O’Chau, Ms. Ha atas jemputan dan kerjasama yang diberikan dalam menjayakan program ini.
Secara keseluruhannya, program ini berjaya mencapai objektif yang dirancang serta memberi impak positif kepada peserta dan komuniti setempat, khususnya dalam aspek pembangunan kemahiran dan pertukaran budaya.
