Senimas Band POLIMAS juara Battle of The Band Sekretariat Rakan Muda Zon Utara

POLITEKNIK SULTAN ABDUL HALIM MUADZAM SHAH
12 November 2025
Aktiviti Pelajar, Umum

Jendela Madani

Kumpulan Senimas Band dari Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS), Kedah dinobatkan sebagai Juara Pertandingan Battle of The Band Sekretariat Rakan Muda Zon Utara 2025 yang berlangsung di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Naka, Kedah.

Sekaligus ini membuktikan pelajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) juga mampu menunjukkan bakat dalam bidang seni.

Kenyataan media POLIMAS memaklumkan dengan kemenangan ini telah melayakkan kumpulan berkenaan membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000.00.

Dua vokalis utama iaitu Nur Batrisyia Zulaikha Hamzah dan Muhammad Irfan Harith Mohd Yusri, pula meraih Anugerah Vokal Terbaik dengan hadiah wang tunai RM100.00 setiap seorang.

ENAM KUMPULAN MUZIK

Pertandingan yang diadakan di Dewan Gemilang IKBN Naka ini menghimpunkan enam kumpulan muzik dari pelbagai institusi pendidikan dan belia di Zon Utara.

Program anjuran Sekretariat Rakan Muda ini bertujuan mencungkil bakat baharu dalam bidang muzik serta memperkukuh semangat belia melalui seni, kreativiti dan ekspresi diri positif.

Ketua kumpulan Senimas Band, Muhammad Irfan Harith, meluahkan rasa syukur atas kejayaan tersebut.

“Kami amat terharu dan bersyukur dengankemenangan ini kerana ia hasil usaha berpasukan, latihan berterusan serta sokongan padu daripada pensyarah dan rakan-rakan POLIMAS,” katanya.

INI MENJADI INSPIRASI

Beliau berharap kejayaan ini menjadi inspirasi kepada pelajar lain untuk terus berkarya dan menonjolkan bakat masing-masing.
 
Sementara itu, Timbalan Pengarah Akademik POLIMAS Dr. Mhd Azmin Mat Seman, menzahirkan rasa bangga atas pencapaian yang diraih oleh kumpulan tersebut.

“Kejayaan Senimas Band membuktikan bahawa pelajar POLIMAS bukan sahaja cemerlang dalam akademik dan kemahiran teknikal, malah berbakat dalam bidang seni dan budaya,” kata beliau.

Beliau menjelaskan ia sejajar dengan hasrat POLIMAS untuk melahirkan graduan TVET yang seimbang dari segi intelek, emosi dan kreativiti.

DALAM AKTIVITI KESENIAN

“POLIMAS sentiasa menyokong penyertaan pelajar dalam aktiviti kesenian dan kebudayaan sebagai paltform memperkasa potensi diri serta kemahiran insaniah selaras dengan keperluan industri dan masyarakat,” tambah beliau.

Dalam pada itu, Pegawai Kebudayaan POLIMAS, Hazalina Abdullah, turut menyampaikan ucapan tahniah kepada kumpulan tersebut atas kejayaan yang membanggakan.

“Senimas Band telah menunjukkan komitmen tinggi dan semangat luar biasa sejak sesi latihan lagi di mana bukan sekadar bermain muzik, tetapi mampu menyampaikan mesej positif melalui persembahan bertenaga dan berkualiti,” kata beliau.

“Unit Kebudayaan amat berbangga kerana kejayaan ini mencerminkan hasil bimbingan dan dedikasi seluruh warga POLIMAS dalam memupuk bakat pelajar,” katanya. – JM

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti