
Suara.TV

NAKA – Kumpulan Senimas Band dari Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS) terus membuktikan keunggulan pelajar TVET apabila tampil sebagai juara Pertandingan Battle of The Band (BOTB) Zon Utara 2025 yang telah berlangsung di Dewan Gemilang, Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), dekat sini baru-baru ini.
Dengan kemenangan itu, Senimas Band berjaya membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM1,000 selain turut memenangi kategori Vokal Terbaik menerusi vokalis Nur Batrisyia Zulaikha Hamzah dan Muhammad Irfan Harith Mohd Yusri, masing-masing menerima hadiah bernilai RM100.
Pertandingan BOTB dianjurkan oleh Sekretariat Rakan Muda bertujuan menghimpunkan enam kumpulan muzik dari pelbagai institusi pendidikan dan belia Zon Utara, selain itu mencungkil bakat baharu dalam bidang muzik serta memperkukuh semangat belia melalui seni, kreativiti dan ekspresi diri positif.
Ketua Senimas Band, Muhammad Irfan Harith, meluahkan rasa syukur atas dan amat terharu dengan kejayaan tersebut.
“Ia hasil usaha berpasukan, latihan berterusan serta sokongan padu daripada pensyarah dan rakan-rakan di POLIMAS.
Kami berharap kejayaan ini menjadi inspirasi kepada pelajar lain untuk terus berkarya dan menonjolkan bakat masing-masing,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Akademik POLIMAS, Dr. Mhd Azmin Mat Seman, menzahirkan rasa bangga atas pencapaian yang diraih oleh kumpulan tersebut.
“Kejayaan Senimas Band membuktikan bahawa pelajar POLIMAS bukan sahaja cemerlang dalam akademik dan kemahiran teknikal, malah mempunyai keupayaan tinggi dalam bidang seni dan budaya.
“Ini sejajar dengan hasrat POLIMAS untuk melahirkan graduan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang seimbang dari segi intelek, emosi dan kreativiti,” ujar beliau.
“POLIMAS sentiasa menyokong penyertaan pelajar dalam aktiviti kesenian dan kebudayaan sebagai platform memperkasa potensi diri serta kemahiran insaniah selaras dengan keperluan industri dan masyarakat, ”tambahnya.
Pada masa yang sama, Pegawai Kebudayaan POLIMAS, Hazalina Abdullah, turut menyampaikan ucapan tahniah kepada kumpulan tersebut atas kejayaan itu.
“Senimas Band telah menunjukkan komitmen tinggi dan semangat luar biasa sejak sesi latihan lagi. Mereka bukan sekadar bermain muzik, tetapi menyampaikan mesej positif melalui persembahan yang bertenaga dan berkualiti.
“Unit Kebudayaan amat berbangga kerana kejayaan ini mencerminkan hasil bimbingan dan dedikasi seluruh warga POLIMAS dalam memupuk bakat pelajar,” katanya.
Kejayaan Senimas Band bukan sahaja mengharumkan nama POLIMAS di utara tanah air, malah menjadi bukti bahawa pendidikan TVET mampu melahirkan generasi belia yang serba boleh, berdaya saing dan berwawasan dalam pelbagai bidang, termasuk seni dan budaya. – SUARA.TV