
PUTRAJAYA, 10 Mac 2026 – Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) telah mengadakan Sesi Libat Urus Strategik bersama-sama Jabatan Digital Negara (JDN) yang bertujuan untuk memperkukuh kerjasama strategik pendigitalan POLYCC menerusi perkhidmatan awan (Cloud) dan integrasi Kecerdasan Buatan (AI).
Langkah ini selari dengan matlamat untuk menjadikan ekosistem pembelajaran digital TVET negara yang paling kompetitif.
Antara fokus utama transformasi pendigitalan ini termasuklah;
Kestabilan Kapasiti Sistem: Memastikan platform CIDOS mampu menyokong lebih 100,000 pengguna secara stabil dengan capaian serentak tanpa gangguan, yang melibatkan 36 buah Politeknik dan 106 buah Kolej Komuniti.
Tiga Tunjang Teknologi Memacu Inovasi: Pelaksanaan sistem ini disokong oleh penerapan teknologi AI (termasuk AI Chatbot dan AI Proctoring), penggunaan teknologi Blockchain untuk kelulusan Micro-Credential yang selamat, serta pengurusan storan Open Educational Resources (OER) berskala besar.
Hala Tuju Kampus Pintar: Persediaan strategik ke arah penubuhan Politeknik AI berteraskan kampus pintar dan perluasan akses pendidikan melalui Online Distance Learning (ODL) yang disasarkan beroperasi sepenuhnya menjelang tahun 2027.
Dalam majlis yang sama, diadakan simbolik penyerahan surat kelulusan perkhidmatan pengkomputeran awan bagi sistem pembelajaran digital berintegrasi kecerdasan buatan (AI) POLYCC 2026 antara wakil JPPKK; Tuan Haji Ulaimi bin Yahya, Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) dan wakil JDN, Ts. Dr. Rafidah binti Pakir Mohamad, Ketua Penolong Pengarah, Seksyen Pengurusan Pengkomputeran Awan (CMO).
Turut hadir adalah Puan Esther Douglas Udam, Timbalan Setiausaha Bahagian Kewangan, Kementerian Pendidikan Tinggi, Pengarah-pengarah JPPKK, para pegawai JPPKK dan JDN.
