
PERMATANG PAUH, 15 Julai – Kolej Komuniti Seberang Jaya (KKSJ) mencipta kejayaan membanggakan apabila inovasi Sistem e-Sahsiah berjaya meraih Anugerah Emas dan muncul sebagai Naib Johan keseluruhan dalam Pertandingan Penang IDEA-X Challenge @KKKB 2026 Peringkat Kebangsaan yang berlangsung di Mydin Mall, Bukit Mertajam.
Pertandingan yang dianjurkan oleh Kolej Komuniti Kepala Batas (KKKB) itu diadakan bersempena penganjuran SIPPKO 2026, sebuah platform yang menghimpunkan hasil penyelidikan, inovasi serta potensi pengkomersialan daripada warga Politeknik dan Kolej Komuniti di seluruh negara.
Sistem e-Sahsiah yang dibangunkan oleh Unit Ambilan dan Pembangunan Pelajar KKSJ berjaya menonjol dalam Kategori Sains, Teknologi dan Kelestarian menerusi penyelesaian digital yang memudahkan pengurusan data sahsiah pelajar secara lebih sistematik, cekap dan berkesan.
Pasukan penyelidik yang menjayakan inovasi tersebut diketuai oleh Encik Muhammad Zulhusni bin Abdul Aziz, bersama Encik Mohd Farid bin Ismail, Puan Najmi Hawa binti Abdul Wahab, Puan Noorhasni binti Yaakop dan Puan Nurul Zaliza binti Md Isa.
Menurut Encik Muhammad Zulhusni, yang juga Pegawai Pembangunan Pelajar KKSJ, pembangunan Sistem e-Sahsiah bertujuan memperkukuh pengurusan sahsiah pelajar melalui pendigitalan, selaras dengan aspirasi transformasi teknologi dalam ekosistem pendidikan tinggi negara.
Beliau berkata, ciri sistem yang mesra pengguna, mudah diakses dan berupaya meningkatkan kecekapan pengurusan menjadi antara faktor utama yang berjaya menarik perhatian panel juri sepanjang pertandingan berlangsung.
Majlis penyampaian anugerah berlangsung dalam suasana penuh gemilang dengan kehadiran peserta, panel juri serta wakil institusi dari seluruh negara.
Kejayaan berganda ini bukan sahaja mengangkat nama Kolej Komuniti Seberang Jaya di peringkat kebangsaan, malah membuktikan komitmen institusi dalam memperkasa budaya penyelidikan dan inovasi yang mampu menghasilkan penyelesaian praktikal serta memberi impak kepada pengurusan pendidikan. Pencapaian ini diharapkan menjadi pemangkin kepada warga Politeknik dan Kolej Komuniti untuk terus menghasilkan inovasi berkualiti tinggi demi memperkukuh kecemerlangan institusi dan menyokong agenda pembangunan pendidikan negara.

