KULIM – Inkubator Smart Hatchery Polytechnic daripada Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) mencatat sejarah tersendiri apabila dinobatkan sebagai penerima Anugerah Young SocialPreneur Programme (YS2P) All Starz 2025 – Kategori Socialpreneur Project Award sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM1,000.
Kejayaan ini dicapai menerusi projek Lestari Darul Aitam, hasil usaha pelajar Jabatan Kejuruteraan Mekanikal bersama Center of Technology (COT) yang memberi tumpuan kepada pembangunan keusahawanan sosial melalui penternakan burung puyuh. Projek ini membantu Pertubuhan Sinar Kasih Darul Aitam menjana sumber kewangan bagi menampung operasi dan kebajikan anak-anak yatim di bawah jagaan mereka.
Pasukan yang diketuai oleh Amir Yahya bin Suib (CEO) dan Siti Syahzanani binti Mohammad Zaidi (Pengurus) mendapat bimbingan rapat daripada mentor, Hajah Sharizan binti Abdul Halim dan Puan Fazaliana binti Zamzuri serta sokongan barisan penasihat akademik dan teknikal.
Pasukan ini terlebih dahulu melayakkan diri ke peringkat akhir setelah tersenarai antara 10 terbaik semasa saringan pembentangan idea (pitching) dalam talian pada 6 Ogos sebelum mara ke sesi akhir secara bersemuka pada 20 Ogos 2025.
Majlis penganugerahan ini berlangsung sempena Program INDex POLYCC 2025 (Industri Nexus POLYCC 2025) yang dirasmikan oleh YBhg. Datuk Dr. Anesee bin Ibrahim, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Menurut Hajah Sharizan binti Abdul Halim selaku mentor projek, kejayaan ini menjadi bukti kemampuan pelajar politeknik dalam menyumbang kepada masyarakat melalui inovasi sosial.
“Saya berbangga dengan komitmen dan kesungguhan pelajar yang bukan sahaja menumpukan kepada kejayaan akademik tetapi juga mahu memberi nilai tambah kepada masyarakat. Kejayaan ini adalah permulaan kepada lahirnya lebih ramai usahawan sosial muda pada masa hadapan,” ujarnya.