
MUKAH, 10 Mac 2026 – Komitmen pelajar Politeknik Mukah dalam mengimarahkan aktiviti keagamaan sepanjang bulan Ramadan bukan sahaja dihargai, malah turut membawa manfaat apabila lima pelajar menerima sumbangan khas bagi membantu meringakan beban kewangan mereka sepanjang pengajian.
Sumbangan tersebut dalam Majlis Iftar Perdana Politeknik Mukah kepada pelajar yang mencatatkan jumlah merit kehadiran tertinggi bagi aktiviti yang dianjurkan di Pusat Islam PMU sepanjang Ramadan.
Pelajar yang menerima sumbangan tersebut ialah Aiman Zafri Ridzuan Rosdi, Puteri Norkiah Mohamad Sarbini, Muhammad Naqeeb Syahiran Mohamad Zamhari, Muhammad Shahran Sarbini dan Muhammad Amir Hanafi Abdul Aziz.
Pengerusi Pusat Islam PMU, Ts. Muhammad Azam Ngah, berkata inisiatif itu merupakan satu usaha bagi menghargai ketekunan pelajar dalam menyertai program ibadah di samping memberi sokongan kepada mereka dari segi kewangan.
Menurut beliau, pemberian sumbangan dalam bentuk wang tunai itu diharap dapat membantu pelajar menampung sebahagian keperluan harian sepanjang mereka mengikuri pengajian di PMU.
“Pengiktirafan ini adalah sebagai tanda penghargaan kepada pelajar yang menunjukkan komitmen tinggi dalam mengimarahkan Pusat Islam sepanjang Ramadan. Pada masa sama, kita berharap sumbangan ini dapat membantu meringakan beban kewangan mereka sebagai pelajar,” katanya.
Beliau menambah bahawa usaha tersebut juga diharap dapat menjadi galakan kepada pelajar lain untuk lebih aktif menyertai program kerohanian yang dianjurkan di Pusat Islam.
Bagi salah seorang penerima, Aiman Zafri Ridzuan Rosdi, penghargaan tersebut menjadi sesuatu yang tidak disangka kerana pada asalnya hanya ingin memanfaatkan bulan Ramadan dengan menghadiri aktiviti ibadah di Pusat Islam.
“Saya datang ke Pusat Islam untuk solat berjemaah dan menyertai program yang dianjurkan sepanjang Ramadan. Saya tidak sangka usaha kecil itu dihargai dengan sumbangan seperti ini,” katanya.
Menurutnya, bantuan yang diterima itu juga sedikit sebanyak membantu dari segi kewangan sebagai pelajar yang sedang mengikuti pengajian.
“Sebagai pelajar, setiap bantuan sangat bermakna kerana ia dapat membantu menampung keperluan harian. Pada masa sama, ia memberi motivasi untuk terus aktif menyertai aktiviti di Pusat Islam,” katanya lagi.
Seorang lagi penerima, Puteri Norkiah Mohamad Sarbini, berkata program seperti itu memberi pengalaman Ramadan yang lebih bermakna kepada pelajar yang berada jauh daripada keluarga.
“Ramadan di kampung kadangkala terasa berbeza kerana berjauhan dengan keluarga. Namun program seperti ini menjadikan suasana Ramadan lebih meriah dan memberi peluang kepada pelajar untuk sama-sama menghidupkan aktiviti keagamaan,” katanya.
Pelajar turut menyifatkan sumbangan yang diteruma sebagai tanda keprihatinan pihak PMU terhadap kebajikan pelajar.
Majlis Iftar Perdana tersebut turut disertai warga Politeknik Mukah, pelajar Politeknik Mukah serta pelajar tahfiz yang berdekatan yang bersama-sama memeriahkan program berbuka puasa serta aktiviti kerohanian sepanjang bulan Ramadan.
Penganjuran program tersebut diharapkan dapat terus memperkukuh peranan Pusat Islam sebagai pusat pengimarahan aktiviti kerohanian serta menyokong pembangunan sahsiah pelajar di Politeknik Mukah. – PMU

