Techno Huffaz PSA: melonjak potensi membina generasi Teknokrat Huffaz

POLITEKNIK SULTAN SALAHUDDIN ABDUL AZIZ SHAH
29 September 2026
Akademik, BERITA

SHAH ALAM, 29 SEPTEMBER 2026 – Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) terus memperkukuh peranannya sebagai institusi TVET yang bukan sahaja melahirkan tenaga kerja berkemahiran, malah membentuk modal insan yang holistik melalui pelaksanaan Program Techno-Huffaz.

Mengintegrasikan pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET) dengan pengajian dan hafazan al-Quran, Techno-Huffaz menjadi antara pendekatan pendidikan yang memperkayakan pengalaman pelajar dengan mengimbangi pembangunan kompetensi profesional, kecemerlangan akademik dan pembentukan nilai kerohanian.

Program ini dilaksanakan melalui kerjasama antara Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Politeknik dan Kolej Komuniti (PolyCC) serta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Pensijilan Tahfiz al-Quran.

Program Techno-Huffaz PSA mula diperkenalkan melalui pelaksanaan program Pensijilan Tahfiz Al-Quran Darul Quran JAKIM-PSA pada sesi Jun 2017. Pengambilan generasi pertama seramai 9 orang pelajar, pada ketika itu melibatkan Jabatan Perdagangan sahaja.

Pada tahun 2019, Program Techno-Huffaz PSA diperluaskan kepada jabatan akademik lain termasuk Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Kejuruteraan Mekanikal dan Kejuruteraan Awam.

Muhammad Firdaus Naim bin Yuswan merupakan graduan sulung yang berjaya menamatkan kedua-dua pengajian iaitu Diploma Politeknik dan Pensijilan Tahfiz telah dilahirkan pada tahun 2021.

Beliau berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran dalam tempoh tiga tahun, di samping memperoleh Diploma Pengajian Perniagaan melalui program Pensijilan Tahfiz al-Quran Darul Quran, JAKIM di PSA.

Manakala sehingga tahun 2025, seramai 12 orang graduan telah berjaya menamatkan kedua-dua pengajian Diploma Politeknik dan Pensijilan Tahfiz.

Sempena Majlis Konvokesyen PSA Ke-27 yang telah berlangsung baru-baru ini di Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjong Malim Perak, seramai 4 graduan Techno-Huffaz PSA diraikan dan menjadikan jumlah keseluruhan 16 graduan Techno-Huffaz PSA yang telah menamatkan kedua-dua pengajian ini bagi tahun ini.

PSA turut menerima pengiktirafan sebagai IPT Kolaborasi Terbaik 2026 pada Istiadat Konvokesyen Darul Quran JAKIM ke-34, tahun 2026.

Secara keseluruhan, Program Techno-Huffaz PSA yang kini memasuki tahun ke-10 pelaksanaannya merupakan program yang mengintegrasikan pengajian Diploma Politeknik dengan Pensijilan Tahfiz al-Quran bagi melahirkan graduan yang mahir teknikal, mempunyai kompetensi al-Quran dan berpotensi menjadi usahawan.

Pencapaian tersebut menjadi bukti bahawa kecemerlangan dalam bidang TVET dan pembangunan kerohanian mampu berjalan seiring. Ia turut memperlihatkan bahawa institusi TVET mempunyai ruang yang luas untuk membentuk generasi muda yang bukan sahaja bersedia memenuhi keperluan industri, tetapi turut memiliki nilai dan prinsip yang menjadi asas kepada pembangunan masyarakat yang mampan.

Selaras dengan tema “Melonjak Potensi, Mencipta Legasi”, Techno-Huffaz mencerminkan usaha PSA dalam membuka ruang kepada pelajar untuk melonjakkan potensi diri melalui gabungan ilmu, kemahiran dan penghayatan al-Quran. Daripada potensi tersebut, lahirlah generasi graduan yang mampu membawa nilai positif ke dalam industri, komuniti dan negara.

Dari kiri Luth, Haris, Amin dan Syakir. Empat (4) graduan Techno-Huffaz menamatkan pengajian bagi Majlis Konvokesyen PSA Ke-27.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti