
Kuala Terengganu , 6 September 2026 – Prinsip “jadi yang terbaik di antara yang terbaik” menjadi pegangan graduan Diploma Teknologi Digital (DDT), Politeknik Muadzam Shah (PMS), Putri Balqish Qistina binti Mohammad Hamidi, dalam memburu kecemerlangan sehingga dinobatkan sebagai Penerima Anugerah Ketua Pengarah Politeknik bagi Zon Timur 2026.
Putri Balqish mencatat pencapaian akademik cemerlang dengan memperoleh HPNM 4.00 serta menerima Anugerah Ketua Jabatan bagi lima semester berturut-turut dari Semester 1 hingga Semester 5.
Kecemerlangannya turut terserlah dalam bidang inovasi dan teknologi apabila beliau meraih Best of the Best Award kategori Undergraduates dalam Malaysia-Japan International Innovation Competition 2025, selain memenangi pingat emas dalam Open International Innovations Challenge 2024 dan International Creative & Innovative Idea Competition 2025.
Menurut Putri Balqish, kejayaan tersebut bermula dengan keberanian menetapkan sasaran dan kesungguhan mencari peluang untuk memperkukuh pengetahuan dalam bidang yang diminatinya.
“Saya sejenis yang apabila minat dan sudah letak satu target, saya akan usaha sedaya upaya untuk capai. Pertandingan yang saya sertai sebelum ini pun, saya cari sendiri untuk lebih memahami bidang saya.
“Saya berpegang kepada prinsip ‘jadi yang terbaik di antara yang terbaik’. Sebab itu saya tidak mahu mengalah.”
Bagi beliau, pembelajaran tidak terhad kepada apa yang dipelajari di dalam kelas. Minat terhadap teknologi mendorongnya untuk aktif mencari pengalaman melalui pertandingan, bengkel dan program berkaitan bidang digital.
Sepanjang berada di PMS, Putri Balqish bukan sahaja aktif dalam bidang inovasi, malah turut menyerlah dalam kepimpinan dan kokurikulum. Beliau pernah memegang jawatan Naib Yang Dipertua 2 Majlis Perwakilan Pelajar 2024, Setiausaha Kelab Robotik serta terlibat dalam pelbagai program kepimpinan, kesukarelawanan dan kemahasiswaan.
Beliau juga melengkapkan diri dengan beberapa pensijilan profesional termasuk Google IT Support, Google IT Security, IBM Cybersecurity Express, IBM Generative AI dan My5G Ericsson Malaysia Pioneers Programme.
Namun, di sebalik pencapaian akademik dan kokurikulum yang diraih, Putri Balqish mengakui bahawa kejayaannya tidak dibina seorang diri.
Katanya, doa ibu, sokongan keluarga, bimbingan pensyarah serta rakan-rakan seperjuangan menjadi antara faktor penting yang membantunya kekal fokus dan terus mengejar sasaran.
“Saya percaya surrounding sangat penting. Kawan-kawan banyak membantu dan menyokong saya, daripada dalam kelas sehingga ke luar kelas. Saya rasa apabila kita memilih lingkungan yang baik, mereka boleh membantu kita untuk mencapai target.
“Pensyarah pula banyak berkongsi ilmu dan membuka peluang kepada saya untuk mencabar diri. Saya jumpa ramai orang baik sepanjang berada di PMS yang tidak jemu berkongsi perkara yang baik. Jadi, saya mahu menjadi lebih baik supaya dapat berkongsi perkara yang baik dengan orang lain pula.”
Doa ibu turut menjadi sumber kekuatan buat Putri Balqish setiap kali berdepan perkara penting sepanjang pengajiannya.
“Selalunya sebelum ke kelas atau peperiksaan, saya akan baca Surah Yasin dan Surah al-Insyirah. Kalau ada kuiz atau perkara penting, saya akan telefon ibu dan minta ibu doakan.”
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada rakan-rakan yang sentiasa membantu, khususnya ketika perlu mengimbangi tuntutan akademik dengan pelbagai aktiviti dan program di PMS.
Kini, perjalanan Putri Balqish diteruskan ke peringkat lebih tinggi apabila beliau sedang menyambung pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Software Engineering di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Bagi Putri Balqish, Anugerah Ketua Pengarah yang diterima bukan sekadar pengiktirafan terhadap pencapaian sepanjang bergelar mahasiswa, tetapi menjadi pembakar semangat untuk terus belajar, mencabar diri dan memberi manfaat kepada orang lain.
“Saya tidak mahu berhenti setakat ini. Saya mahu terus belajar, menjadi lebih baik dan menggunakan apa yang saya pelajari untuk membantu orang lain.”
Kisah Putri Balqish membuktikan bahawa kecemerlangan mahasiswa bukan hanya lahir daripada pencapaian akademik, tetapi turut terbina melalui ketekunan mengejar sasaran, keberanian mencari peluang, sokongan keluarga, bimbingan pensyarah dan lingkungan rakan yang positif.
Kecemerlangan Putri Balqish bukan sahaja diiktiraf melalui pencapaian akademik dan Anugerah Ketua Pengarah, malah beliau turut menerima Biasiswa Yang Berhormat Menteri Pendidikan Tinggi (YBM KPT) atas kecemerlangan yang dicapai. Pengiktirafan tersebut menjadi bukti bahawa kesungguhan dan prestasi konsisten beliau sepanjang pengajian telah mendapat perhatian serta kepercayaan di peringkat nasional.

