Tiga pelajar OKU POLYCC harumkan nama negara di Perancis

UKK JPPKK
11 July 2023
Aktiviti Pelajar

25 Mac 2023, Metz – Tiga pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) POLYCC telah menampilkan aksi cemerlang di 10th International Abilympics di Perancis apabila Muhammad Hanif Naufal Mohd Mazni, 23, berjaya membawa pulang pingat gangsa bagi kategori ‘Restaurant Services’. Peserta dari Kolej Komuniti Selayang (KKSY) itu turut dianugerahkan ‘Medallion of Excellence for Malaysia Team’ pada pertandingan tersebut.

Peserta kedua yang juga merupakan alumni Politeknik Ibrahim Sultan (PIS), Nur Amiratul Farahin Ab Rahman, 23, yang melakukan persiapan lebih awal dengan melakukan latihan setiap hari selain menyediakan bahan terbuang seperti kertas, botol, surat khabar, majalah, mainan kanak-kanak serta persediaan lain untuk dibawa ke Perancis ternyata membuahkan hasil apabila melakar kemenangan bergaya dengan meraih pingat perak bagi kategori ‘Painting and Waste Art’.

Wan Muhammad Hafizunif Wan Roslan, 27, dari Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) merupakan peserta ketiga yang mempertaruhkan kategori ‘Cake Decoration’ turut mengharumkan nama negara apabila berjaya dianugerahkan pingat gangsa bagi kategori tersebut.

Pertandingan 10th International Abilympics sempena World Skills Competition bertemakan ‘Common Skills, Uncommon People’ itu telah disertai oleh peserta dari 55 buah negara. Seramai 16 peserta OKU termasuk enam dari POLYCC dari pelbagai bidang kemahiran telah mewakili negara ke pertandingan tersebut yang telah berlangsung pada 24 dan 25 Mac 2023.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti