sinarbestari.sinarharian.com.my, 14 November 2024
Shaiful Azmi (empat dari kiri) menerima anugerah Tokoh TVET POLIMAS 2024 daripada Rosli (lima dari kiri) baru-baru ini.
Siapakah individu yang diangkat sebagai Tokoh Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS) 2024 selepas Norasmah Saad (2022) dan Fuahaidi Zulkifli (2023)?
Beliau tidak lain dan tidak bukan adalah Pensyarah Kanan, Muhammad Shaiful Azmi Abdul Rahman, 47, yang telah memberikan sumbangan cukup besar ke arah pencapaian dan pembangunan TVET di POLIMAS.
Anugerah yang disampaikan sempena Hari Akademia POLIMAS 2024 baru-baru ini, turut memberi penghargaan kepada ahli akademik dan warga politeknik yang telah menampilkan kecemerlangan dalam bidang masing-masing.
Antaranya adalah Anugerah Pembelajaran dan Pengajaran, Anugerah Pensyarah Cemerlang, Anugerah Pensyarah Harapan, Anugerah Pembelajaran Sepanjang Hayat dan Anugerah Mentor Keusahawanan.
Pengarah POLIMAS, Rosli Idris dan Timbalan Pengarah Akademik, Dr Mhd Azmin Mat Seman diberi penghargaan untuk menyampaikan penghargaan kepada para pemenang.
Hadir sama Timbalan Pengarah Sokongan Akademik, Hamizi Yahya dan barisan Ahli Mesyuarat Pengurusan POLIMAS.
Sementara itu, Shaiful Azmi melahirkan syukur atas pengiktiran yang diberikan pihak politeknik kepadanya.
Senarai penerima anugerah dalam Hari Akademia POLIMAS 2024.
“Saya tak jangka langsung untuk menerima anugerah utama dalam Hari Akademia POLIMAS tahun ini.
“Jutaan terima kasih kepada ahli keluarga yang sentiasa menyokong segala usaha dalam karier saya selama ini.
“Juga buat barisan pengurusan atasan POLIMAS yang sentiasa memberi kepercayaan kepada diri ini dalam melaksanakan apa jua tugasan diberikan.
“Tidak ketinggalan, terima kasih juga kepada rakan sekeliling dalam politeknik yang banyak membantu, menyokong dan membimbing sepanjang perjalanan sebagai tenaga pengajar,” ujarnya.
Dalam itu, Rosli Idris berkata, penganjuran Hari Akademia POLIMAS 2024 bertujuan memberikan penghargaan kepada mereka yang berjaya menonjolkan kecemerlangan diri sepanjang tahun lalu.
“Tahniah kepada semua penerima anugerah. Besar harapan saya agar barisan pensyarah lain berusaha bersungguh-sungguh untuk menjayakan TVET Negara dan mengharumkan nama POLIMAS di persada negara.
“Yakinkan kepada masyarakat bahawa bidang TVET ini memberi peluang pekerjaan luas demi keperluan pembangunan negara masa kini,” jelasnya.
Latar belakang Shaiful Azmi
Shaiful Azmi dilahirkan pada 4 November 1977 di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.
Beliau merupakan graduan lulusan Ijazah Sarjana Sains Bandar dan Komuniti Lestari, Universiti Sains Malaysia; Ijazah Sarjana Muda Perancangan Bandar dan Wilayah (Kelas Pertama) (Universiti Teknologi Malaysia); Diploma Perancangan Bandar dan Wilayah (Universiti Teknologi Mara – UiTM) serta Sijil Perancangan Bandar dan Wilayah (UiTM).
Kerjaya pertama beliau adalah di firma perancangan bandar iaitu CACM Jururancang, Kuala Lumpur sebagai Penolong Teknikal pada 1999 hingga 2000.
Kemudian, Shaiful Azmi bertukar ke firma kedua iaitu RHS Planners di Negeri Sembilan hingga 2002 dengan menjawat jawatan sama.
Selepas itu, beliau bekerja di Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Semenanjung Malaysia, Kuala Lumpur sebagai Penolong Pegawai Perancang Bandar dan Desa pada 14 Mac 2002 dan kemudiannya ditempatkan di Majlis Daerah Kuala Pilah, Negeri Sembilan 1 Ogos 2002.
Hasil dari kecemerlangan dalam tugasan, Shaiful Azmi dinaikkan pangkat di organisasi sama pada 1 Oktober 2010 sebagai Ketua Bahagian Perancangan dan Landskap.
1 Oktober 2012, beliau menerima perlantikan sebagai Pegawai Perancang Bandar dan Desa dan ditempatkan di Pejabat Projek Zon Tengah, Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Semenanjung Malaysia, Kuala Lumpur.
Tetapi disebabkan kecintaan ingin menjadi tenaga pengajar, beliau telah menukar kariernya dari seorang Pegawai Perancang Bandar dan Desa kepada Pegawai Pendidikan Pengajian Tinggi pada 1 November 2012 dan ditempatkan sebagai Pensyarah Kanan POLIMAS hingga kini.
Sebagai pensyarah, beliau banyak melibatkan diri dengan aktiviti penyelidikan, inovasi dan kolaborasi.
Shaiful Azmi juga merangkul pelbagai pengiktirafan dengan mengondol enam pingat emas, dua perak, tiga gangsa dan empat projek terbaik selain pernah menjadi penerima anugerah penyelidikan terbaik serta pembentangan terbaik peringkat antarabangsa mahupun kebangsaan.
Dalam masa sama, beliau aktif dalam aktiviti seni budaya sehingga dilantik Pegawai Kebudayaan POLIMAS.
INFO
Senarai penerima anugerah sempena Hari Akademia POLIMAS 2024
1) Anugerah Pembelajaran dan Pengajaran: Noor Amani Salleh dari Jabatan Kejuruteraan Elektrik
2) Anugerah Pensyarah Cemerlang: Mohd Zulfahmi Mohd Zawawi (Jabatan Kejuruteraan Elektrik)
3) Anugerah Pensyarah Harapan: Dr Siti Muyassarah Abd Nasir (Jabatan Perdagangan)
4) Anugerah Pembelajaran Sepanjang Hayat: Mazuin Stapah@Salleh (Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi)
5) Anugerah Mentor Keusahawanan: Nurbaya Ghazali (Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi)
6) Anugerah Ikon Sukarelawan: Saiful Nizam Sa’ari (Jabatan Kejuruteraan Elektrik)
7) Anugerah Ikon Kokurikulum: Md Nasir Md Safar (Jabatan Kejuruteraan Awam)
8) Anugerah Penyelidikan dan Inovasi: Siti Noor Zilawati Mingat@Minhad (Jabatan Kejuruteraan Awam)
9) Anugerah Penerbitan: Dr Dzulkarnain Musa
10) Anugerah Ikon Kolaborasi: Wan Nor Harman Wan Yahya
11) Anugerah Sokongan Akademik: Norainiah Abd Rahman