
IPOH, 8 Julai– Jabatan Kejuruteraan Perkapalan (JKP), Politeknik Ungku Omar (PUO) terus menyemarakkan sambutan Hari Asyura menerusi penganjuran Program Jalinan Ukhuwah (Penghayatan Hijrah) Pelajar Baharu Semester 1, Diploma Kejuruteraan Perkapalan, Sesi I 2026/2027 yang mengetengahkan aktiviti gotong-royong mengacau bubur Asyura sebagai pengisian utama.
Program tersebut berjaya menghimpunkan 80 orang pelajar baharu Semester 1 bersama 25 orang pensyarah dan staf JKP dalam usaha memupuk semangat kebersamaan, mengeratkan ukhuwah serta memperkenalkan budaya kekeluargaan yang menjadi identiti Jabatan Kejuruteraan Perkapalan sejak hari pertama pelajar melangkah ke kampus.
Penganjuran program ini turut mendapat sokongan padu daripada Alumni JKP serta warga pensyarah dan staf jabatan yang menyumbang dana bagi menjayakan penyediaan bubur Asyura. Hasil kerjasama semua pihak, sebanyak 350 pek bubur Asyura berjaya dihasilkan sebelum diedarkan kepada warga PUO menerusi kaedah pandu lalu (drive-thru).
Pengarah Politeknik Ungku Omar, Dr. Hajah Salmi binti Che Meh, merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada seluruh warga Jabatan Kejuruteraan Perkapalan atas komitmen menjayakan program yang sarat dengan nilai murni.
“Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada pensyarah, staf, alumni serta pelajar JKP yang berganding bahu menjayakan program ini. Tradisi seperti ini bukan sekadar menghidupkan amalan sempena Hari Asyura, malah menjadi wadah memperkukuh silaturahim, menyemai semangat kesukarelawanan dan membentuk sahsiah pelajar yang holistik selaras dengan aspirasi Politeknik APEX,” katanya.
Beliau berkata, program berteraskan warisan dan nilai kemasyarakatan seperti ini wajar diteruskan kerana mampu membentuk budaya kampus yang harmoni, prihatin dan saling menyokong. Pada masa sama, penglibatan aktif pelajar baharu bersama pensyarah, staf dan alumni menjadi platform terbaik dalam membina hubungan erat serta menyemai semangat kekitaan yang menjadi teras kecemerlangan warga PUO.