Trem Moden dan Masa Depan Mobiliti Negara

POLITEKNIK SULTAN HAJI AHMAD SHAH
07 May 2026
RENCANA

Dalam dunia yang semakin dipacu oleh teknologi hijau dan bandar pintar, sistem pengangkutan awam berkapasiti tinggi dan rendah karbon memainkan peranan yang amat penting dalam mengatasi isu pencemaran, kesesakan lalu lintas dan kebergantungan kepada kenderaan persendirian, khususnya di kawasan bandar yang berkepadatan tinggi. Malaysia telah menjalankan pelbagai inisiatif dalam usaha memperkasakan mobiliti hijau dan sistem pengangkutan bandar yang mampan.

Sehubungan itu, Malaysia telah mengambil langkah yang proaktif dengan meneroka sistem trem tanpa rel atau Autonomous Rail Rapid Transit (ART) dan menjadikan Putrajaya sebagai bandar perintis bagi perlaksanaan sistem ini. Projek rintis ini bertujuaan untuk menilai potensi sistem ART dalam menyokong pembangunan bandar pintar dan rendah karbon.Walaupun idea projek baru dilaksanakan sebagai projek rintis dan  masih pada tahap percubaan, inisiatif ini  mencerminkan hasrat dan komitmen negara dalam mengintegrasikan pengangkutan mesra alam dengan teknologi kecerdasan buatan (AI). Artikel ini akan meneliti sejarah ringkas evolusi sistem trem di dunia, peranan trem dalam konteks Putrajaya sebagai projek rintis,  aplikasi AI dalam sistem trem moden, kelebihan dan cabarannya, serta prospek masa depan jika sistem trem ini diterapkan secara meluas di Malaysia.

Sejarah dan Perkembangan Trem

Trem sebenarnya bukanlah sesuatu perkhidmatan pengangkutan awam yang baharu dibangunkan tetapiia telah wujud sejak awal abad ke-19. Sistem trem ini beroperasi dalam bentuk gerabak yang ditarik oleh tenaga haiwan terutamanya kuda dan bergerak  di atas rel besi yang dipasang di atas jalan raya. Sistem ini digunakan di bandar-bandar besar seperti London, Paris, dan New York kerana ia memberikan perjalanan yang lebih lancar berbanding penggunaan kereta kuda biasa di atas jalan berbatu.

Walau bagaimanapun, kebergantungan kepada haiwan  menimbulkan masalah pencemaran najis dan menjejaskan kesihatan awam. Oleh kerana itu, revolusi besar berlaku pada tahun 1888 apabila Frank J. Sprague memperkenalkan sistem trem elektrik moden di Richmond, Virginia, Amerika Syarikat. Inovasi ini menggunakan arus elektrik yang disalurkan melalui kabel atas danmenjadikan perjalanan lebih  pantas,  berkapasiti tinggi dan lebih bersih

Dalam masa beberapa dekad, hampir setiap bandar besar di seluruh dunia mempunyai sistem trem elektrik, dan ia menjadinadi utama pengangkutan bandar. Namun, selepas Perang Dunia Kedua, sistem pengangkutan trem mula merosot apabila bas dan kereta persendirian dianggap lebih moden dan fleksibel. Kesannya, terdapat banyak bandar menutup laluan trem dan membuang rel mereka, khususnya di Amerika Syarikat.

Walau bagaimanapun, sejak 1980-an, kesedaran terhadap pencemaran udara dan kesesakan lalu lintas membawa kepada kebangkitan semula sistem trem dengan memperkenalkan sistem trem moden  dan transit aliran ringan (LRT) yang lebih mesra alam.Negara-negara Eropah seperti Perancis dan Jerman menjadi pelopor kepada kebangkitan ini, manakala bandar-bandar seperti Melbourne dan Hong Kong terus mengekalkan trem sebagai sebahagian daripada warisan dan pengangkutan harian. Pada masa kini, trem moden direka dengan teknologi yang lebih senyap, berkuasa elektrik penuh, malah ada yang menggunakan trem tanpa kabel atas (wireless tram) dengan bateri atau sistem panduan optik seperti  teknologi yang dibangunkan oleh China.

Sistem trem moden yang dibangunkan oleh China dikenali sebagai ART telah diuji di bandar-bandar seperti Zhuzhou dan Yibin. Sistem ART ini menggunakan tayar getah di atas jalan raya tetapi dipandu oleh sistem optik dan sensor, seolah-olah bergerak di atas rel maya.

Putrajaya mula menguji sistem ART ini sekitar tahun 2014 hingga 2017, dan secara rasmi projek rintis ini dilaksanakan  pada tahun 2024 dengan kerjasama Kementerian Wilayah Persekutuan dan Perbadanan Putrajaya. Walaupun projek ini masih berbentuk percubaan, ia membuka ruang perbincangan besar tentang masa depan pengangkutan bandar di Malaysia.

Aplikasi AI Dalam Sistem Trem Moden: Kelebihan dan Kekurangan

Apa yang membezakan trem moden seperti ART dengan trem konvensional adalah penggunaan kecerdasan buatan (AI). Dengan adanya bantuan kamera, radar, dan sensor LIDAR, sistem trem moden ini mampu membaca garisan di jalan raya sebagai trek maya bagi mengekalkan trem di laluan yang tepat tanpa memerlukan rel besi fizikal. AI memproses data ini dalam masa nyata bagi mengekalkan kelajuan optimum trem dan memastikan trem berhenti tepat di stesennya, serta mengurangkan risiko kesilapan manusia.

AI juga berfungsi untuk mengenal pasti pejalan kaki, basikal atau kenderaan lain di sepanjang laluan trem, dan membantu trem membuat keputusan sama ada untuk memperlahankan kelajuan, membunyikan amaran atau berhenti sepenuhnya. Ini menjadikan trem lebih selamat berbanding sistem trem tradisional. Selain itu, trem pintar boleh dihubungkan dengan sistem pengurusan trafik bandar, ia membolehkan lampu isyarat dan laluan bas diselaraskan secara automatik berdasarkan keadaan lalu lintas. AI juga membolehkan trem diberi “keutamaan lampu hijau” di persimpangan laluan, bagi mempercepatkan perjalanan dan meningkatkan kecekapan operasi trem.

Fungsi lain AI dalam sistem trem ialah penyelenggaraan ramalan. Dengan menganalisis data daripada pelbagai sensor, AI boleh memantau keadaan komponen seperti bateri, motor, tayar dan brek. Sekiranya ada tanda awal kerosakan, sistem akan memberi amaran supaya penyelenggaraan boleh dilakukan sebelum berlaku kerosakan yang lebih serius Dengan ini ia dapat menjimatkan kos jangka panjang dan mengurangkan risiko gangguan operasi.

Di samping itu, AI juga digunakan untuk menganalisis pola penggunaan penumpang melalui data tiket digital dan sensor jumlah penumpang. Dengan cara ini, operator boleh mengetahui waktu puncak, stesen yang paling sibuk, serta laluan atau perjalanan yang kurang digunakan. Data ini membantu mereka menyesuaikan kekerapan perjalanan dan kapasiti dengan lebih tepat, sekali gus meningkatkan kepuasan pengguna.

Trem pintar yang digabungkan dengan AI menawarkan kelebihan yang sangat jelas dan siginifikan dalam pelbagai perspektif pengangkutan awam bandarDari sudut kelestarian, trem ini dikuasakan sepenuhnya oleh elektrik dan tidak mengeluarkan asap, sejajar dengan aspirasi bandar hijau.  Dari segi kapasiti pula, ia boleh membawa lebih ramai penumpang berbanding bas konvensional, dan menjadikannya lebih sesuai digunakan pada waktu puncak di kawasan pejabat pentadbiran amnya di Putrajaya.

Manakala, dari aspek keselamatan, AI mampu memberikan keupayaan tambahan seperti pengesanan halangan dan brek automatik, sekali gus mengurangkan risiko dan kemalangan jalan raya. Dari sudut operasi, jadual pintar dan pengurusan trafik bersepadu menjadikan masa perjalanan lebih cekap. Malah, dari perspektif imej, trem moden mampu meningkatkan reputasi Putrajaya sebagai bandar masa depan serta berpotensi menjadi tarikan pelancongan, contohnya untuk lawatan “city tour” mengelilingi mercu tanda ikonik.

Namun begitu, sistem ini juga berdepan dengan beberapa cabaran besar antaranya ialah kos permulaan pembinaan sistem ini masih tinggi kerana memerlukan lorong khas, stesen dan depot penyelenggaraan, walaupun lebih murah daripada sistem pengangkutan monorel.

Di samping itu, kepadatan penduduk Putrajaya yang rendah juga menjadi salah satu cabaran kerana permintaan penumpang mungkin tidak mencukupi untuk menampung kos operasi jangka panjang. Selain itu, sistem ART ini bergantung kepada teknologi luar negara, khususnya dari China, yang berpotensi meningkatkan kos alat ganti dan penyelenggaraan. Dari sudut integrasi, trem berisiko menjadi projek terasing jika tidak dihubungkan dengan baik kepada sistem lain seperti perkhidmatan bas, ERL dan MRT. Sejarah monorel Putrajaya turut menjadi peringatan bahawa projek berimpak tinggi berpotensi terbengkalai jika tidak diurus dengan rapi dan berterusan.

Jika trem pintar ini dibandingkan dengan mod lain, seperti bas elektrik di mana ia lebih murah dan fleksibel kerana laluan boleh diubah mengikut permintaan, tetapi mempunyai kapasiti yang lebih rendah. Manakala, monorel pula berkapasiti tinggi dan lebih ikonik, tetapi kosnya sangat besar dan pengalaman lalu membuktikan ia kurang praktikal untuk Putrajaya. Oleh itu, dalam konteks Putrajaya pelaksanaan sistem trem pintar ART berada di pertengahan antara sistem bas dan moneraldengan menawarkan kapasiti tinggi dan imej moden tetapi memerlukan pelaburan besar dalam infrastruktur.

Kesimpulan

Kesimpulannya, trem moden bukan sekadar kenderaan atas rel maya, tetapi satu gabungan teknologi pengangkutan hijau dengan kecerdasan buatan. Ia menunjukkan bagaimana bandar masa depan boleh dibentuk dengan lebih mesra alam, selamat, dan cekap. Perlaksanaan percubaan sistem trem ART di Putrajaya membuka jalan ke arah pembangunan mobiliti bandar yang lebih pintar dan mampan , walaupun banyak cabaran yang perlu diatasi.

Sama ada projek ini  akan menjadi kenyataan atau sekadar satu lagi percubaan seperti monorel, hanya masa yang akan menentukan. Namun yang pasti, gabungan trem dan AI adalah simbol masa depan mobiliti bandar yang lebih hijau, lebih pintar dan lebih bersifat kemanusiaan.

Penulis :

Dr. Ahmad Yusri Mohamad, Pensyarah Kanan, Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS), Pahang.

Ir. Ts. Muhammad Masrizal Saad, Jurutera Awam, Bahagian Trafik dan Pengangkutan Awam, Jabatan Kejuruteraan dan Penyelenggaraan, Perbadanan Putrajaya.

Ts. Nur Faezah Yahya, Felo Industri, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Johor.

Prof. Madya Ir. Dr. Nur Izzi Md Yusoff, Pensyarah Kanan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Selangor

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti