
TANJONG MALIM, 28 SEPTEMBER 2026 – Majlis Konvokesyen Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) ke-27 telah berlangsung pada Sidang 5 Majlis Konvokesyen Politeknik dan Kolej Komuniti Zon Tengah 2026.
Konvokesyen PSA Ke-27 bukan sekadar sebuah peristiwa meraikan kejayaan akademik para graduan, malah menjadi simbol perjalanan transformasi bakat Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam melahirkan modal insan yang kompeten, berdaya saing dan bersedia mendepani masa hadapan.
Mengangkat tema “Melonjak Potensi, Mencipta Legasi”, konvokesyen kali ini membawa mesej bahawa setiap graduan mempunyai potensi untuk pergi lebih jauh, mencipta nilai dan meninggalkan impak yang bermakna kepada industri, masyarakat serta negara.
TVET kini bukan lagi pilihan kedua, sebaliknya semakin menjadi pemacu utama pembangunan bakat negara melalui penguasaan kemahiran, peningkatan kemahiran (upskilling) dan latihan semula (reskilling) yang selari dengan perubahan teknologi serta keperluan ekonomi semasa.
Landskap pasaran pekerjaan yang semakin dinamik dan kompetitif, industri memerlukan bakat yang bukan sahaja memiliki kelayakan akademik, tetapi turut mempunyai kemahiran praktikal, kompetensi teknikal, keupayaan menyelesaikan masalah, daya adaptasi dan kesediaan untuk terus belajar.
Keperluan tersebut diterjemahkan melalui pendidikan TVET di Politeknik dan Kolej Komuniti (PolyCC) yang memberi penekanan kepada pembelajaran berasaskan amali, pengalaman industri serta kurikulum yang responsif terhadap kehendak semasa. Pendekatan ini membentuk graduan yang job-ready, kompeten dan mampu memberikan nilai tambah kepada organisasi sebaik sahaja melangkah ke alam pekerjaan.
Graduan PolyCC juga terus mendapat kepercayaan dan tempat dalam sektor industri berikutan penguasaan kemahiran yang relevan, pengalaman praktikal serta pendedahan kepada persekitaran kerja sebenar. Mereka bukan sekadar bersedia untuk mengisi peluang pekerjaan yang tersedia, malah berpotensi menjadi pencipta peluang, penggerak inovasi dan penyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Ini dibuktikan dengan statistik kebolehpasaran graduan PolyCC bagi tahun 2025 mencatatkan pencapaian yang sangat luar biasa, iaitu sebanyak 98.5% bagi politeknik dan 98.8% bagi kolej komuniti.
Kejayaan PolyCC juga dipacu oleh sinergi strategik bersama 23,580 rakan industri melalui wadah kolaborasi berimpak tinggi.
Setiap graduan yang diraikan hari merupakan manifestasi kejayaan institusi dalam memperkasa bakat melalui pendidikan berkualiti dan latihan berteraskan industri. Kejayaan ini menjadi sebahagian daripada sejarah PSA dalam melahirkan generasi TVET yang mampu membawa nama institusi ke peringkat lebih tinggi.
Konvokesyen PSA Ke-27 menjadi titik permulaan kepada perjalanan yang lebih besar. Segulung diploma bukan noktah, tetapi tiket untuk melangkah lebih jauh, mencipta peluang, menyelesaikan cabaran dan membina masa hadapan.
Hari ini diraikan sebagai graduan. Esok mereka tampil sebagai penggerak industri, pencipta nilai dan pembina masa hadapan negara.
Majlis pada kali ini meraikan 4,581 graduan dari polieknik dan 2,281 graduan kolej komuniti di zon tengah.
Sidang 5 meraikan para graduan PSA seramai 920 orang yang menerima ijazah sarjana muda, diploma serta sijil dalam bidang Kejuruteraan Awam, Kejuruteraan Elektrik, Kejuruteraan Mekanikal dan Perdagangan.
PSA menobatkan Anugerh Pengarah kepada graduan;
Ketiga-tiga graduan ini mencatatkan Himpunan Purata Nilai Mata (HPNM) 3.50 dan ke atas, turut menyerlah melalui penglibatan aktif dalam pelbagai aktiviti di luar bidang akademik.
Kecemerlangan yang ditampilkan membuktikan bahawa pencapaian mereka tidak terhad kepada prestasi akademik semata-mata, sebaliknya turut merangkumi kepimpinan, tanggungjawab, komunikasi, kerja berpasukan serta penglibatan dalam pertandingan dan aktiviti kokurikulum.
Pencapaian ini memperlihatkan bahawa ketiga-tiga graduan berkenaan merupakan graduan holistik yang cemerlang dalam akademik, kokurikulum dan sumbangan kepada komuniti, sekali gus mencerminkan aspirasi PSA dalam melahirkan modal insan TVET yang kompeten, berdaya saing dan mempunyai nilai kepimpinan yang tinggi.
Kejayaan mereka menjadi bukti bahawa kecemerlangan akademik yang disokong dengan pengalaman, kepimpinan dan penglibatan aktif mampu membentuk graduan yang bukan sahaja bersedia untuk dunia pekerjaan, malah berpotensi menjadi pemimpin dan penyumbang kepada pembangunan masyarakat serta negara.
