Usahawan beretika pacu ekonomi Madani

POLITEKNIK SULTAN SALAHUDDIN ABDUL AZIZ SHAH
11 January 2024
Aktiviti Pelajar

16 November 2023, Shah Alam – Mereka yang menceburkan diri dalam bidang keusahawanan perlu menerapkan nilai-nilai etika, keadilan dan tindakan yang baik tanpa mencari keuntungan semata-mata.

Pengerusi POLYCC Zon Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur,  Ts. Zainah Rujihan berkata, usahawan juga perlu mengambil inisatif untuk memberikan manfaat kepada komuniti, masyarakat dan negara yang seterusnya memacu ekonomi yang benar-benar bermakna.

Sehubungan itu katanya, Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) mengambil inisiatif menganjurkan Karnival Keusahawanan POLYCC Zon Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Institusi Pendidikan Indonesia (KAWAN 2023).

“KAWAN 2023 mengangkat tema “Usahawan Madani Pemacu Ekonomi” bagi mencerminkan semangat keusahawanan yang diterapkan dalam rangkaian nilai dan etika yang baik di mana kejayaan perniagaan adalah selari dengan kesejahteraan masyarakat,”

“Karnival ini juga dilaksanakan bagi membudayakan ilmu perniagaan dan amalan terbaik perniagaan kepada para pelajar di samping sebagai platform untuk mendapat lebih pendedahan dan pengalaman menerusi sesi perkongsian dan pameran yang diadakan.” ujarnya ketika berucap merasmikan KAWAN 2023 di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA).

Turut hadir Pengarah Kolej Komuniti Kuala Langat Suhairi Ismail, Timbalan Pengarah Akademik PSA Ts. Dr. Ahmad Aftas Azman, Timbalan Pengarah Sokongan Akademik PSA, Ts. Mohd Firdauz Mhd Radzi, Ketua Pusat Keusahawanan Premier PSA, Zaharatul Akmar Ahmad Zainuddin serta Rektor Universitas Pamulang, Indonesia, Dr. E. Nurzaman yang mengikuti secara atas talian.

Seramai 200 pelajar POLYCC Zon Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menyertai KAWAN 2023.

Program yang diadakan secara hibrid itu turut disertai kira-kira 100 orang mahasiswa Universitas Pamulang, Indonesia dengan matlamat melihat pelajar di kedua-dua negara berani mengambil risiko menjalankan perniagaan di peringkat antarabangsa.

KAWAN 2023 turut menampilkan usahawan-usahawan graduan dan pelajar daripada kedua-dua negara yang telah berjaya menjalankan perniagaan dalam pelbagai bidang.

Turut serta beberapa agensi berkaitan antaranya Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC), Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dan Bank Islam Malaysia Berhad.


BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti