
KULIM, 26 Nov (MalaysiaAktif) – Seorang usahawan jahitan membuktikan usia bukan penghalang untuk menimba ilmu apabila mendaftar sebagai antara 247 pelajar baharu Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) bagi kemasukan Sesi II 2026/2027.
Rozita Mohd Khaldi, 48, yang mengikuti Diploma Pemasaran berkata keputusan menyambung pengajian didorong keinginan menambah ilmu pengetahuan serta mengembangkan perniagaan dan kelas jahitan yang diusahakannya.
“Kita tidak pernah terlalu tua untuk belajar. Dan tidak pernah terlambat untuk menjadi versi diri kita yang lebih baik,” katanya ketika ditemui pada sesi pendaftaran pelajar baharu di PTSB, di sini kelmarin.
Ibu kepada dua orang anak itu, yang turut memiliki pengiktirafan Pakar Mengajar daripada Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), mengakui berasa kekok pada awalnya apabila melihat rakan sekuliah yang sebaya anak-anaknya, namun bersyukur kerana diberi peluang melanjutkan pengajian.
Menurutnya, perjalanan pendidikan beliau penuh liku apabila pernah berhenti sekolah pada usia 16 tahun sebelum menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebagai calon persendirian ketika berusia 24 tahun.
Beliau turut pernah melanjutkan pengajian di Universiti Teknologi MARA (UiTM) pada 2006, namun terpaksa menangguhkannya atas faktor tanggungjawab keluarga.
“Saya mahu menggunakan ilmu pemasaran ini untuk membina jenama perniagaan sendiri, selain membuktikan kepada anak-anak bahawa proses menuntut ilmu tidak sepatutnya terhenti hanya kerana kita sudah dewasa,” katanya.
Dalam masa sama, Rozita turut menggalas tanggungjawab menguruskan ibunya yang sedang menjalani rawatan kanser, namun keadaan itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus menuntut ilmu demi masa depan lebih baik.
Kisah Rozita menjadi inspirasi bahawa kesungguhan, ketabahan dan komitmen terhadap pendidikan mampu membuka peluang baharu tanpa mengira usia, sekali gus membuktikan ilmu merupakan pelaburan berharga untuk meningkatkan potensi diri, keluarga dan kerjaya.
Sumber: https://malaysiaaktif.my/2026/11/usia-tidak-halang-rozita-sambung-pengajian-di-ptsb/