VBC 2025: Wan Umi Nafeesya Amna juara kategori Triple Wanita harumkan nama POLIMAS

POLITEKNIK SULTAN ABDUL HALIM MUADZAM SHAH
09 September 2025
Aktiviti Pelajar, Sukan

JENDELA MADANI

Pasukan Petanque Politeknik Malaysia di bawah seliaan Majlis Sukan Politeknik (MSP) mengharumkan nama institusi apabila berjaya mencatat kejayaan gemilang dalam Varsity Boules Championship (VBC) 2025 yang berlangsung pada 26 hingga 30 Ogos 2025 di Kompleks Sukan Arena Emas, Skudai, Johor.

Paling membanggakan apabila pelajar Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS), Wan Umi Nafeesya Amna Wan Osmadi, pelajar Program Diploma Teknologi Maklumat (DIT 2A), Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (JTMK), muncul sebagai juara bagi kategori Triple Wanita.

Kejayaan ini mengangkat nama POLIMAS dan Politeknik Malaysia di peringkat kebangsaan.

Timbalan Pengarah Akademik POLIMAS, Dr. Mhd Azmin Mat Seman, melahirkan rasa bangga atas kejayaan yang dicapai.

MENYERLAH DALAM SUKAN

“Kejayaan ini membuktikan bahawa pelajar POLIMAS bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, tetapi juga mampu menyerlah dalam sukan.

“Kami amat berbangga dengan pencapaian ini, dan berharap ia menjadi pemangkin kepada pelajar lain untuk turut mengharumkan nama politeknik di peringkat yang lebih tinggi,” katanya.

Sementara itu, jurulatih Petanque POLIMAS, Zul Amalli Harun, menyifatkan kemenangan ini sebagai hasil kerja keras berpasukan dan latihan berterusan.

“Wan Umi Nafeesya Amna seorang atlet yang berdisiplin tinggi dan sentiasa berusaha gigih dalam setiap sesi latihan. Kemenangan ini adalah bukti bahawa komitmen, fokus, dan semangat juang tidak pernah mengkhianati hasil. Saya percaya beliau mampu melangkah lebih jauh,” ujarnya.

MENJADI MOMEN TERINDAH

Bagi juara pertandingan, Wan Umi Nafeesya Amna, kemenangan ini menjadi momen terindah dalam
perjalanan beliau sebagai atlet muda politeknik.

“Saya amat bersyukur dan berterima kasih kepada jurulatih, rakan sepasukan, pensyarah, serta keluarga yang sentiasa memberi sokongan.

Kemenangan ini bukan milik saya seorang, tetapi milik POLIMAS dan seluruh warga politeknik. Saya akan terus berusaha membawa nama
POLIMAS ke tahap yang lebih tinggi,”katanya dengan penuh semangat.

Kejayaan ini bukan sahaja melakar sejarah buat POLIMAS, malah mengukuhkan kedudukan Politeknik
Malaysia sebagai pencetus bakat muda sukan petanque di negara ini.

Pihak pengurusan POLIMAS
yakin bahawa pencapaian ini akan menjadi inspirasi kepada seluruh warga pelajar untuk terus melakar kejayaan dalam apa juga bidang diceburi. – JM

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti