
JENDELA MADANI
Oleh: Sholina Osman
16 FEB.2025
Yang DiPertua Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP) Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS) 2025 berazam akan menjadikan JPP sebagai organisasi yang harmoni dan melaksanakan manifesto pilihan raya yang telah dijanjikan.
Muhammad Luqmanul Hakim Mohamad Yazid berkata, apa yang penting kebajikan pelajar harus diutamakan bagi membolehkan mereka mudah belajar dengan sempurna dan selesa di dalam kampus serta mendapat keputusan yang cemerlang dalam pelajaran mahupun dalam sebarang aktiviti yang diceburi”.
Beliau berkata demikan setelah menerima tauliah perlantikan baru-baru ini.
Muhammad Luqmanul Hakim, yang mengikuti pengajian Diploma Perancangan Bandar dan Wilayah ini berhasrat untuk menjadi Pegawai Perancang Bandar dan Wilayah yang bertauliah.
PERLU MENJADI CONTOH
Pengarah POLIMAS, Rosli Idris berkata, anggota JPP yang telah dipilih oleh pelajar ini perlu menjadi contoh kepada pelajar lain dan sentiasa prihatin serta mengambil kira keperluan pelajar lain dalam usaha menyediakan suasana kondusif di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) ini.
Jelasnya, JPP merupakan penghubung antara pihak pengurusan politeknik dengan pelajar dalam menyalurkan maklumat khususnya melibatkan permasalahan yang dihadapi mereka.
“Anda semua telah dipilih oleh pelajar dan sebagai pemimpin maka anda perlu melaksanakan tugas dan menghargai undi yang diberikan,” katanya.
MENGAMBIL TAHU MASALAH
Dengan kuasa yang ada, katanya, anggota JPPA perlu mengambil tahu masalah pelajar serta memaklumkan terus kepada pengurusan POLIMAS.
“Jika mampu maka kita akan cuba penuhi keperluan pelajar,” katanya kepada Majlis Penyampaian Watikah Perlantikan di Bilik Mesyuarat Bunga Raya, POLIMAS, Jitra baru-baru ini.
Katanya, JPP harus menunjukkan tauladan dan kepimpinan yang baik kepada semua pelajar.
Dalam majlis itu, seramai 30 anggota Exco yang diketuai Yang Dipertua JPP POLIMAS, Muhammad Luqmanul menerima watikah pentauliahan sebagai Exco MPP POLIMAS yang disampaikan oleh Rosli. – JM