176 belia sertai temuduga terbuka anjuran POLISAS

POLITEKNIK SULTAN HAJI AHMAD SHAH
14 August 2023
Umum

KUANTAN, 2 Ogos 2023 – Seramai 176 orang belia yang turut terdiri dari alumni Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS) telah menghadiri sesi temuduga terbuka sempena penganjuran Karnival Kerjaya MyFutureJobs anjuran POLISAS dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Negeri Pahang, bertempat di Dewan Sri Mahkota, POLISAS. Program ini melibatkan seramai 14 buah industri yang memerlukan tenaga kerja.

Penganjuran program ini bertujuan untuk membantu belia setempat serta alumni bagi mendapatkan pekerjaan dalam pelbagai bidang kemahiran.

Selain itu, program ini berjaya mengeratkan hubungan dua hala antara POLISAS dengan pihak industri melalui kolaborasi dan smart partnership.

Pihak industri yang terlibat adalah Hicom Automotive Manufacturers (M) Sdn.Bhd., China Communication Construction (ECRL) Sdn.Bhd., GlobalLab Engineering Sdn.Bhd., Camel Power (M) Sdn.Bhd., Wasco Coatings Malaysia Sdn.Bhd., Suria Resorts Management Sdn.Bhd., Swang Chai Chuan Sdn.Bhd., Ramly Food Processing Sdn.Bhd., MSM BIZZ Sdn.Bhd., Solaris Group, Public Mutual Berhad, SK Magic Retail Malaysia Sdn.Bhd. (SK Vision Group), One Stop Home Care Centre dan Nadi Insan Sdn.Bhd.

Wan Nuraini Wan Yakob,24, alumni Diploma Akauntasi POLISAS turut mengambil peluang menghadiri temuduga terbuka ini. Beliau yang juga merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU) sejak lahir berkata, program ini sangat membantu graduan sepertinya untuk mencari pekerjaan.

“ Saya dapat maklumat mengenai program ini melalui pihak PERKESO dan ini merupakan kali pertama saya hadir ke temuduga terbuka. Program sebegini sangat membantu kerana dapat terus berjumpa secara bersemuka dengan wakil-wakil majikan dan mereka juga dapat melihat keadaan diri saya. Sebelum ini saya hanya menghantar permohonan berdasarkan iklan pekerjaan yang ditawarkan di portal pekerjaan”, katanya.

Sementara itu, seorang lagi calon temuduga terbuka, Nureen Emily Muhd Khairul Azmi, 21, graduan Diploma Sistem Maklumat Perniagaan POLISAS berkata, ini merupakan kali pertama beliau menghadiri temuduga terbuka ini.

“ Karnival Kerjaya ini bagus kerana mengumpulkan para majikan dalam satu tempat dan ini memudahkan calon untuk menjalani temuduga dengan beberapa pilihan majikan yang menawarkan peluang pekerjaan yang bersesuaian dengan bidang yang dipelajari”, katanya.

Hadir sama,  Timbalan Pengarah (Sokongan Akademik) POLISAS, Azad Muslim bin Muhammad.

Wan Nuraini Wan Yakob
Nureen Emily Muhd Khairul Azmi

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti