Tingkatkan kepuasan koc wanita di MRT

POLITEKNIK SULTAN HAJI AHMAD SHAH
20 November 2024
RENCANA

Pengangkutan awam merupakan nadi mobiliti masyarakat moden, membolehkan pergerakan bebas penduduk di bandar-bandar besar dan tidak ketinggalan juga kawasan luar bandar. Ia juga merupakan pemangkin dalam memacu dan membentuk pertumbuhan ekonomi bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat. Namun, dalam mengejar keberkesanan dan capaian luas, isu keselamatan penumpang terutamanya wanita seringkali terlepas pandang. Di sinilah bermulanya perkenalan Koc Wanita sebagai inisiatif untuk meningkatkan keselamatan dan keselesaan penumpang wanita yang kerap dilaporkan mengalami gangguan seksual ketika menggunakan perkhidmatan tersebut.

Pengasingan penumpang mengikut gender ini juga menjadi langkah ke arah pengangkutan awam yang lebih selamat dan inklusif. Persoalannya, adakah Koc Wanita di MRT (Mass Rapid Transit) benar-benar memberikan keselesaan yang lebih baik terutamanya kepada penumpang wanita?

Beberapa tahun terakhir, pelbagai pertimbangan dan projek dasar memberi tumpuan kepada perbezaan jantina untuk perancangan pengangkutan. Walaupun begitu, mobiliti atau cara jantina mempengaruhi pilihan dan tingkah laku mobiliti seseorang khususnya mengenai aspek persepsi wanita terhadap keselamatan di ruang awam dan bagaimana pilihan mobiliti mereka terjejas, di mana sebahagian besarnya tidak ditangani dengan cekap oleh pihak pengurusan.

Keadaan ini telah mencipta satu pandangan sosial bahawa wanita secara fizikal lebih terdedah kepada jenayah dan serangan, menyumbang kepada persepsi keselamatan wanita yang rendah. Oleh itu, terdapat beberapa aspek yang perlu diberi perhatian dengan lebih mendalam jika pihak pengurusan perkhidmatan awam ingin menjadikan pengangkutan lebih mesra wanita.

Pada tahun 2012, akhbar The Star pernah melaporkan bahawa kajian terdahulu yang dijalankan menunjukkan bahawa satu pilihan bagi wanita yang berulang-alik menggunakan pengangkutan awam di pelbagai bahagian dunia hanya menawarkan Koc Wanita Sahaja sebagai pilihan yang menjamin keselamatan penumpang wanita. Terdapat beberapa negara maju telah memperkenalkan Koc Wanita Sahaja seperti Jepun, Korea Selatan, England dan Emiriah Arab Bersatu.

Meskipun begitu, perkhidmatan ini saban hari telah memberikan nilaian kurang prestasi tahap kepuasannya terhadap pengguna wanita. Melalui tinjauan syarikat keretapi, peratusan besar dengan majoritinya adalah wanita menunjukkan mereka telah diraba, dengan kebanyakan insiden berlaku di dalam komuter kereta api. Mangsa yang biasa terlibat dalam insiden tersebut tergolong dari kalangan wanita muda, terutamanya pelajar sekolah dan universiti.

Di Malaysia, Koc Wanita pada mulanya hanya meliputi perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) sahaja di mana gerabak khas itu direalisasikan pada tahun 2010 dan berjaya menarik minat ramai penumpang wanita. Kejayaan ini sekaligus membawa kepada penubuhan Koc Wanita di MRT Kajang oleh Menteri Pengangkutan Malaysia, Yang Behormat Anthony Loke, yang telah diperuntukkan khusus untuk memberikan penumpang wanita ruang yang lebih selamat dan selesa, terutamanya dalam perjalanan jarak jauh dan waktu puncak. Gerabak khas itu ditandai dengan jelas melalui pelekat, papan tanda berwarna merah jambu dan kebiasaannya diletakkan di tengah-tengah tren supaya penumpang dapat membezakan Koc Wanita dan koc biasa dengan jelas.

Menubuhkan gerabak khas itu dalam sistem MRT dianggap oleh banyak pihak sebagai proaktif untuk menangani kebimbangan ini, menyediakan ruang yang ditetapkan di mana wanita boleh bergerak tanpa kebimbangan akan gangguan dan ketidakselesaan. Ini bukan sahaja mengiktirafkan keperluan khusus penumpang wanita tetapi juga menekankan komitmen untuk memupuk persekitaran inkulsif dan selamat dalam kerangka pengangkutan awam secara lebih meluas.

Kadar pengguna Koc Wanita di Malaysia menunjukkan sambutan yang sangat baik. Sejak pengenalan Koc Wanita di MRT Kajang, jumlah aduan gangguan seksual telah berkurang dari purata 3.2 kes kepada 2 kes sebulan. Walaupun maklum balas pengguna menunjukkan inisiatif ini membantu mengurangkan risiko gangguan seksual dan jenayah, cadangan penambahbaikkan perlu dijalankan kepada Koc Wanita ini bagi memastikan tahap keselamatan dan kepuasan para penumpang wanita terjamin pada masa hadapan.

Sementara itu, Jadual 1 menunjukkan satu kajian oleh para penulis berkenaan perkhidmatan MRT secara umumnya di Malaysia. Dapatan kajian ini menunjukkan bahawa tiada pengguna yang berpendapat bahawa servis MRT di Malaysia adalah teruk dan sangat teruk.

Jadual 1 – Kepuasan berkenaan perkhidmatan MRT di Malaysia

PenunjukBilangan pengguna (n)
Sangat Bagus11
Bagus131
Sederhana101

Manakala, hasil analisis kajian penulis pada Jadual 2 mendapati 153 orang memilih untuk menaiki Koc Wanita Sahaja sebaliknya dengan 41 orang yang lain lebih memilih untuk tidak menaiki gerabak tersebut. Terdapat 49 orang yang berpendapat bahawa mereka mungkin menaiki dan tidak menaiki gerabak khas wanita sahaja. Pengguna MRT tidak bermakna mereka merupakan pengguna gerabak khas wanita sahaja, segelintir lebih memilih untuk menaiki gerabak biasa walaupun bercampur jantina kerana lebih selesa di gerabak biasa dan berpendapat bahawa tiada perbezaan antara dua gerabak tersebut.

Jadual 2 – Bilangan pengguna dan bukan pengguna Koc Wanita Sahaja

PenunjukBilangan pengguna (n)
Menaiki153
Tidak Menaiki41
Tidak Pasti49

Bagi menganalisis penilaian tahap kepuasan dan kepentingan pengguna wanita terhadap perkhidmatan Koc Wanita Sahaja MRT Kajang, setiap elemen yang dikenalpasti mempengaruhi tahap keberkesanannya telah dianalisis menggunakan dua kaedah iaitu kaedah analisis Kepentingan Prestasi Kerja (IPA) dan Ujian Perbezaan Kepentingan dan Kepuasan (Jurang Purata) seperti yang ditunjukkan di dalam Jadual 3.

Jadual 3 – Analisis Jurang Purata Tahap Kepentingan dan Tahap Kepuasan

No.AtributKepentinganKepuasanJurang Purata
E1Keadaan fizikal keseluruhan yang baik bagi gerabak khas Wanita.4.0658 (15)  4.3951 (2)0.3293
E2Jadual masa perjalanan gerabak khas Wanita yang tepat.4.7531 (6)3.6337 (16)-1.1194
E3Kebersihan dan keselesaan di gerabak khas Wanita.4.4650 (9)4.4527 (1)-0.0123
E4Suasana persekitaran yang mesra wanita di setiap stesen.4.3580 (13)3.8107 (14)-0.5473
E5Bilangan tempat duduk dan tali penyangkut tangan yang mencukupi.4.6132 (8)3.7037 (15)-0.9095
E6Bilangan gerabak khas wanita yang mencukupi4.3704 (12)4.000 (7)-0.3704
E7Keselamatan sepanjang perjalanan di dalam gerabak wanita terjamin.5.000 (1)3.9177 (11)-1.0823
E8Kehadiran pengawal keselamatan di stesen.4.9877 (4)3.8189 (13)-1.1688
E9Keselesaan tempat menunggu di setiap stesen.3.9547 (17)4.0000 (8)0.0453
E10Kebolehlihatan papan tanda dan arah tuju di setiap stesen.4.4650 (10)3.9300 (10)-0.5350
E11Pemantauan sekuriti elektronik (CCTV) di dalam gerabak khas wanita.4.9671 (5)4.2881 (4)-0.679
E12Hukuman yang dikenakan kepada pesalah gangguan penumpang wanita di stesen dan di dalam gerabak (saman, penjara).4.9959 (3)3.5144 (18)-1.4815
E13Reka bentuk khas wanita gerabak wanita.3.9177 (18)4.2593 (6)0.3416
E14Kedudukan gerabak yang mudah dikenalpasti oleh penumpang wanita.4.3992 (11)3.5062 (19)-0.8930
E15Kemudahan penumpang wanita untuk menaiki dan turun dari gerabak.4.0700 (14)4.3169 (3)0.2469
E16Etika dan perkhidmatan petugas yang sewajarnya diberikan kepada penumpang wanita di MRT Kajang.4.7037 (7)3.5391 (17)-1.1646
E17Paparan digital maklumat gerabak wanita sahaja di MRT Kajang.3.0823 (19)4.2881 (5)1.2058
E18Pemakluman info kewujudan gerabak wanita kepada orang awam.3.9959 (16)3.8313 (12)-0.1646
E19Bilangan pengguna lelaki yang menaiki gerabak khas wanita MRT Kajang.5.0000 (2)3.9918 (9)-1.0082

Seterusnya, Rajah 1 menunjukkan taburan data bagi tahap kepentingan dan tahap kepuasan Koc Wanita Sahaja MRT Kajang di mana penilaian tersebut dilakukan dengan menggunakan skala linkert.

Rajah 1 – Taburan data bagi tahap kepentingan dan kepuasan Koc Wanita Sahaja MRT Kajang

Penekanan yang berat perlu dijalankan kepada elemen kuadran 2 ini kerana kesemua elemen tersebut tidak mencapai tahap kepuasan seiring dengan kemahuan pengguna Koc Wanita MRT Kajang walaupun mempunyai tahap kepentingan yang tinggi.

Antara atribut yang jatuh di kuadran 2 adalah jadual masa perjalanan gerabak khas wanita yang tepat, bilangan tempat duduk dan tali penyangkut tangan yang mencukupi, keselamatan sepanjang perjalanan di dalam gerabak wanita terjamin, kehadiran pengawal keselamatan di stesen, kebolehlihatan papan tanda dan arah tuju di setiap stesen, hukuman yang dikenakan kepada pesalah gangguan penumpang wanita di stesen dan di dalam gerabak (saman, penjara), etika dan perkhidmatan petugas yang sewajarnya diberikan kepada penumpang wanita di MRT Kajang dan juga bilangan pengguna lelaki yang menaiki gerabak khas wanita MRT Kajang.

Secara keseluruhan, data bagi Tahap Kepentingan adalah lebih tinggi daripada Tahap Kepuasan. Dua data jurang yang paling tinggi antara tahap kepentingan dan kepuasan perkhidmatan Koc Wanita MRT Kajang adalah item E8 “Kehadiran pengawal keselamatan di stesen” dengan bacaan -1.1688 dan E12 “Hukuman yang dikenakan kepada pesalah gangguan penumpang wanita di stesen dan di dalam gerabak (saman, penjara)” dengan bacaan -1.4815.

Daripada kajian ini, dapat disimpulkan bahawa pengguna wanita sangat berharap agar pihak pengurusan MRT Kajang akan meningkatkan tahap keselamatan ketika mereka berada di stesen mahupun bekerjasama dengan pihak penguatkuasa seperti polis untuk memberikan hukuman yang setimpal kepada pesalah gangguan seksual justeru meningkatkan kualiti perkhidmatan Koc Wanita di MRT Kajang.

Penulis :

Iszyiana Syuhada binti Ismi

Pelajar,Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Selangor

Dr. Ahmad Yusri Mohamad

Pensyarah, Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS), Pahang

Prof. Madya Ts. Ir. Dr. Nur Izzi Md Yusoff

Pensyarah, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Selangor

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti