
Sinar Harian, 28 Januari 2024
TAMPIN – Pengalaman hidup susah dan ingin keluar daripada kepompong kemiskinan menyuntik semangat enam sahabat di sini untuk terus maju dan bergelar usahawan asnaf.
Kesemua mereka bangkit mengubah nasib hidup dengan mengusahakan empat produk membabitkan pembuatan mi kuning, keropok lekor, kek ikan dan bebola ikan hasil daripada Program Upaya Bakat, Kolej Komuniti Tampin tahun lalu.
Ketua pemasaran produknya, Norwati Abdul Malek berkata, selain ingin menambah pendapatan mereka berharap satu hari nanti dapat keluar daripada status asnaf.
“Kami diberi peluang untuk menyertai program tersebut dan dalam masa sama produk yang diusahakan ini sememangnya mendapat permintaan yang mengalakkan terutamanya mi kuning.
“Bertitik tolak dengan itu, kami menyewa premis di kolej berkenaan pada hujung Disember tahun lalu untuk dijadikan lokasi perniagaan di bawah jenama D’Moncheh Frozen,” katanya ketika ditemui pemberita pada Selasa.
Ujar usahawan ini, Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) memberikan modal untuk pembelian alatan dan barang basah termasuk menanggung kos bayaran sewa premis selama enam bulan.
“Setakat ini, kesemua produk kami dipasarkan sekitar Negeri Sembilan dengan harga antara RM1 hingga RM6 termasuk mi kuning dijual RM2 bagi 450 gram. Alhamdulillah permintaannya mengalakkan walaupun tidak sampai dua bulan kami usahakan,” katanya.
Seorang lagi usahawan, Susilawati Md Yunos, 50, berkata, bertuah apabila terpilih menjadi salah seorang daripada keluarga D’Moncheh Frozen.
“Jika dahulu saya berniaga kuih muih di gerai tepi jalan… agak sukar salah satunya sebab tidak ada kemudahan lengkap. Kini semuanya berubah dan berharap kelak kami pula menjadi pembayar zakat bantu golongan asnaf,” katanya dari Kampung Air Kuning Selatan, Gemencheh.
Selain Norwati dan Susilawati, empat lagi sahabatnya yang terlibat mengusahakan produk ini adalah Noraida Yazid, 46, Nilawati Ali Esah, 42, Faridah Zainuddin, 46 dan Kartini Rosli, 45.
Sementara itu, menurut Pengarah Kolej Komuniti Tampin, Azwan Abdullah, seramai 20 peserta menyertai program tersebut pada bulan Mei tahun lalu dengan 16 daripadanya merupakan golongan asnaf.
“Daripada jumlah berkenaan selepas proses saringan terakhir dibuat, enam peserta ini dilihat memberikan komitmen dan MAINS telah memberikan dana perniagaan manakala Kolej Komuniti Tampin menyediakan tempat untuk mereka membangunkan bakat mereka,” katanya.