
KUCHING – Sarawak komited memastikan belia negeri ini diberikan akses latihan berasaskan teknologi, kata Menteri Pendidikan dan Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn.
Beliau berkata, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menjadi teras utama membangunkan modal insan berkemahiran tinggi ini.
“Latihan berasaskan teknologi yang perlu ditekankan kepada belia adalah seperti kecerdasan buatan (AI), data raya, automasi industri dan teknologi hijau.
Justeru, Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) merupakan antara institusi penting yang menyumbang secara langsung melahirkan tenaga kerja masa hadapan yang relevan, adaptif dan inovatif,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Konvokesyen Politeknik dan Kolej Komumiti Zon Sarawak 2025 di Dewan Jubli Politeknik, semalam.
Sagah berkata, dasar TVET Negara 2030 dan Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 (PCDC) 2030 saling melengkapi menjadikan Sarawak sebagai hab pembangunan bakat dan inovasi serantau.
“Melalui Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD), Kerajaan Sarawak terus menzahirkan komitmen terhadap pembangunan modal insan dengan memberi penekanan kepada program TVET yang fleksibel, responsif dan inklusif yang seiring dengan keperluan industri dan landskap pekerjaan masa depan.
“Maka penting untuk kita terus memperkukuh kerjasama antara POLYCC, industri dan Kerajaan Sarawak dalam memastikan kelestarian ekosistem TVET.
“Saya percaya, dengan sokongan MEITD dan agensi berkaitan, kita mampu memperkasakan TVET sebagai penggerak utama pembangunan negeri dan negara ke arah ekonomi berasaskan pengetahuan dan inovasi,” ujarnya.
Sagah dalam masa yang sama menzahirkan penghargaan kepada seluruh warga POLYCC atas kejayaan membentuk graduan yang holistik, berpengetahuan dan berkemahiran tinggi.
“Pencapaian ini hasil kolaborasi pintar antara akademia dengan industri. Graduan POLYCC terbukti bersedia menghadapi cabaran dunia sebenar industri, bersedia untuk menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negeri dan sekaligus Negara kita Malaysia.
“POLYCC menyumbang 40 peratus daripada tenaga kerja teknikal negara. Pencapaian ini mencerminkan dedikasi pensyarah serta kerjasama erat institusi, industri dan kerajaan memastikan pendidikan vokasional dan teknikal kekal relevan dan berdaya saing,” katanya.
Justeru jelasnya, kerjasama erat POLYCC, pihak industri dan Kerajaan Sarawak penting untuk memperkukuhkan ekosistem TVET, khususnya bagi memastikan masyarakat luar bandar tidak terpinggir daripada akses pendidikan berkualiti.
“Initiatif seperti program BAKaT pada 22 hingga 23 Februari lalu membuktikan usaha bersepadu semua pihak membina tenaga kerja mahir melalui latihan praktikal yang relevan dengan keperluan industri.
“Dengan sokongan berterusan MEITD dan agensi berkaitan, POLYCC kekal sebagai rakan strategik melahirkan modal insan berkemahiran yang mampu melonjakkan Sarawak ke arah ekonomi berasaskan pengetahuan, inovasi dan berdaya saing,” ujarnya.
(Kredit kepada wartawan akhbar Suara Sarawak Siti Nurain Ratani : suarasarawak.news@gmail.com)