
JENDELA MADANI
Pasukan Robotik & Drone Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS) terus mencatatkan kejayaan membanggakan pada Kejohanan Ke-18 Federation of International Robot Sports Association (FIRA) Malaysia Cup 2025.
POLIMAS telah berjaya merangkul gelaran ANDROSOT MASTER (Juara Semua Cabaran) serta menduduki tempat kelima keseluruhan dengan kutipan sebanyak lima pingat, dua pingat emas dan tiga pingat gangsa.
Pencapaian emas dicapai menerusi kategori ANDROSOT yang merekodkan markah tertinggi sebanyak 80 mata, mengatasi pasukan pesaing terdekat serta kategori AiBOT (Cabaran Arahan Suara) yang menampilkan keupayaan sistem robotik berasaskan kecerdasan buatan memahami serta melaksanakan arahan suara secara tepat dan efisien.
MENGUJI TEKNOLOGI KENDERAAN
Tiga pingat gangsa pula diraih menerusi kategori ANDROSOT (Sepakan Bebas), AiBOT (Cabaran Lihat-Ambil-Letak) dan ACC (Pemanduan Bandar) yang menguji teknologi kenderaan autonomi.
Pada kejohanan yang bertemakan “Empowering Innovation Through Robotics and AI” ini berlangsung selama enam hari di Politeknik Merlimau, Melaka baru-baru ini.
Ia telah menghimpunkan kontinjen dari pelbagai institusi pengajian tinggi, politeknik dan sekolah seluruh negara.
Sementara itu Pengurus Pasukan, Ir. Siti Nur Thazliah Mohd Thazali berkata, kejayaan ini adalah hasil usaha gigih dan kerjasama erat antara pelajar dan pensyarah pengiring sepanjang tempoh latihan serta pembangunan projek.
KEJAYAAN YANG DIRAIH
“Setiap kejayaan yang diraih adalah hasil komitmen, dedikasi serta minat mendalam dalam bidang robotik dan teknologi,” katanya.
Beliau berkata, pelajar POLIMAS telah membuktikan kemampuan mereka untuk bersaing dan mengaplikasikan kemahiran teknikal serta inovasi selari dengan keperluan industri masa kini.
Tambah beliau lagi, penglibatan aktif pelajar dalam kejohanan ini membuktikan keupayaan mereka menghasilkan penyelesaian inovatif yang berpotensi untuk dikembangkan ke peringkat industri.
Salah seorang pelajar yang menerima pingat emas kategori ANDROSOT, Abdul Gaffar Jabbar melahirkan rasa syukur dan teruja atas pencapaian pasukan mereka.
SEGALA PENAT LELAH
Beliau amat berbangga kerana segala penat lelah akhirnya membuahkan hasil.
“Pengalaman bertanding di peringkat kebangsaan bersama rakan sepasukan mengajar kami erti kerjasama, disiplin dan inovasi,” katanya.
Bagi penerima pingat emas kategori AiBOT, Iman Izzuddin Omar Syaharafuddin berkata kemenangan ini membuktikan bahawa usaha mereka untuk membangunkan sistem robotik berasaskan kecerdasan buatan mendapat pengiktirafan.
“Saya berharap kejayaan ini akan memberi inspirasi kepada lebih ramai pelajar untuk meneroka bidang teknologi dan inovasi,” katanya.
PENUTUPAN DAN PENYAMPAIAN
Majlis penutupan dan penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi
Datuk Ts. Mustapha Sakmud.
Para pemenang menerima penghargaan berupa plak, sijil dan hadiah iringan.
Pengarah POLIMAS, Rosli Idris berkata, kejayaan ini tidak mungkin dicapai tanpa sokongan padu daripada Ketua-ketua jabatan, para pensyarah pengiring, pegawai pentadbiran serta semua warga institusi yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung, termasuk sokongan logistik dan moral sepanjang kejohanan berlangsung.
“Saya berharap pencapaian ini akan terus menjadi pemangkin semangat kepada pelajar dan pensyarah untuk terus melakar kejayaan yang lebih cemerlang di peringkat lebih tinggi pada masa akan datang, sekaligus mengharumkan nama institusi dan negara di persada antarabangsa,” katanya. – JM