Kepentingan Keselamatan di Zon Kerja

POLITEKNIK SULTAN HAJI AHMAD SHAH
28 August 2025
RENCANA

Apabila pelaburan global dalam pembinaan infrastruktur seperti jalan raya terus berkembang, keperluan untuk perancangan keselamatan di zon kerja turut meningkat. Setiap kali projek pembinaan atau penyelenggaraan jalan dimulakan, semua pihak berkepentingan termasuklah  jurutera yang mereka bentuk zon kerja, syarikat yang bertanggungjawab terhadap kawalan trafik, pengeluar peralatan kawalan trafik sementara dan agensi penguatkuasaan undang-undang perlu mengambil kira keselamatan dan pergerakan semua pengguna jalan raya.

Oleh itu, sebelum kerja-kerja pembinaan ataupun penambahbaikan jalan raya dimulakan, perkara utama yang perlu diberi perhatian adalah berkaitan dengan Pelan Pengurusan Trafik (TMP). TMP adalah perancangan bagi proses mengawal atau memudahkan pergerakan kenderaan yang melibatkan beberapa proses tertentu seperti perancangan, reka bentuk geometri dan operasi lalu lintas semasa kerja-kerja dijalankan. Dengan merancang keselamatan dan aliran trafik yang berkesan di kawasan kerja, kita bukan sahaja dapat mengekalkan kepercayaan awam dan mengelakkan risiko kecederaan serta kematian, tetapi juga menjamin kejayaan keseluruhan projek infrastruktur jalan raya tersebut.

Bahagian Pengezonan Kerja

Zon kerja merupakan kawasan yang secara semula jadi berisiko tinggi, di mana para pekerja dan pengguna jalan raya terdedah kepada pelbagai bahaya. Zon kerja kebiasaannya dibahagikan kepada lima bahagian utama, di mana setiap bahagian memainkan peranan khusus dalam memastikan keselamatan dan kelancaran aliran trafik. Bahagian pertama ialah kawasan amaran awal. Kawasan yang berfungsi untuk memaklumkan pemandu mengenai perubahan yang bakal berlaku melalui papan tanda atau lampu isyarat, terutamanya di jalan berkelajuan tinggi yang memerlukan penyediaan beberaap papan tanda amaran secara  berturutan.

Seterusnya ialah kawasan lencongan, di mana kenderaan dialihkan dari laluan asal ke laluan sementara melalui susunan lorong yang ditirus secara berperingkat. Reka bentuk kawasan peralihan ini amat penting agar pemandu dapat menyesuaikan haluan secara selamat dan tidak melakukan lencongan secara mengejut yang boleh mengakibatkan kemalangan.

Selepas itu, terdapat kawasan penampan, iaitu zon bebas peralatan atau bahan binaan, yang berfungsi sebagai ruang keselamatan antara laluan trafik dan kawasan kerja aktif. Kawasan kerja pula ialah tempat sebenar aktiviti pembinaan, penyelenggaraan atau operasi dijalankan. Ia mesti ditandakan dengan jelas melalui papan tanda dan peralatan kawalan trafik seperti kon atau pengadang keselamatan. Akhir sekali, kawasan penamat menandakan penghujung zon kerja, membolehkan kenderaan kembali ke laluan dan had laju asal, biasanya disertakan dengan papan tanda yang memaklumkan pemulihan keadaan trafik kembali normal.

Bahaya Tersembunyi

Zon kerja mungkin kelihatan seperti satu lagi gangguan dalam rutin perjalanan harian kita, tetapi di sebalik kon dan papan tanda yang bewarna oren, tersembunyi satu persekitaran yang kompleks dan berisiko. Beberapa zon ini menghimpunkan kru-kru pembinaan, jentera berat dan lalu lintas berkelajuan tinggi. Kesemuanya berada dalam jarak yang sangat dekat dan gabungan ini boleh mencetuskan bencana jika tidak diuruskan dengan baik.

Bagi para pekerja di tapak, mereka sering berada hanya beberapa meter dari kenderaan yang bergerak laju atau pekerja lain yang sedang mengendalikan mesin berat. Tambahan, faktor-faktor seperti penglihatan yang terhad, cuaca yang tidak menentu dan pemanduan yang terganggu, meningkatkan risiko secara mendadak. Melalui kawasan zon kerja bermakna kita perlu berhadapan dengan perubahan corak pemanduan secara tiba-tiba. Pada masa yang sama juga, kita cuba mencari arah yang betul untuk dilalui. Jadi tidak hairanlah jika banyak kemalangan berlaku di kawasan ini, yang sering kali mengakibatkan kecederaan serius atau kematian kepada pengguna jalan raya.

Selain itu, faktor persekitaran turut memainkan peranan. Kerja-kerja yang dilakukan pada waktu malam, trafik yang sesak dan cuaca buruk menjadikan jarak penglihatan semakin terhad dan masa tindak balas semakin lambat. Cabaran-cabaran ini menjadikan zon kerja sebagai kawasan berisiko yang memerlukan kewaspadaan tambahan.

Tanggungjawab Undang-undang dan Etika

Keselamatan di zon kerja bukan sekadar satu amalan terbaik, malah ia merupakan satu kewajipan undang-undang. Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia telah mengeluarkan satu piawaian mengenai Peranti Kawalan Trafik: Papan Tanda Sementara dan Kawalan Zon Kerja (Manual ATJ 2C/85 – Pindaan 2017). Piawaian ini bertujuan untuk mewujudkan keseragaman dalam reka bentuk dan aplikasi semua papan tanda serta peranti kawalan trafik di negara kita. Kegagalan mematuhi peraturan ini boleh mengakibatkan tindakan undang-undang, kelewatan projek dan liabiliti terhadap sebarang kemalangan yang berlaku.

Tanggungjawab etika juga adalah penting untuk melindungi nyawa manusia. Syarikat pembinaan, kontraktor dan pihak berkuasa yang berkaitan perlu mengutamakan keselamatan dalam setiap aspek operasi mereka. Langkah ini penting bukan sahaja untuk mengurangkan risiko, tetapi juga untuk membentuk budaya kerja yang mementingkan keselamatan, keprihatinan dan akauntabiliti.

Strategi Keselamatan

Usaha untuk mewujudkan persekitaran yang lebih selamat di zon pembinaan jalan raya bermula sebelum penyediaan kon yang pertama. Perancangan dan reka bentuk yang teliti merupakan asas utama kepada keselamatan zon kerja. Setiap tapak kerja memerlukan pelan kawalan trafik yang disesuaikan selaras dengan piawaian JKR Malaysia. Pelan ini boleh merangkumi penutupan lorong, laluan lencongan serta penempatan strategik papan tanda dan pengadang bagi memastikan aliran trafik kekal lancar dan selamat melalui zon kerja.

Penggunaan peranti kawalan trafik yang berkualiti tinggi juga penting. Kon, pengadang, papan amaran dan papan mesej mudah alih berfungsi sebagai barisan pertahanan pertama dalam membimbing pemandu serta melindungi pekerja. Di kawasan berisiko tinggi pula, langkah tambahan seperti lampu isyarat sementara boleh memberikan perlindungan tambahan yang sangat diperlukan.

Aspek lain pula adalah dengan memastikan semua pekerja menerima latihan dan pensijilan yang sewajarnya. Latihan berterusan, kursus pemantapan dan latihan kecemasan berkala akan membantu mengukuhkan amalan terbaik serta keselamatan di zon kerja. Kempen kesedaran yang menekankan bahaya memandu dalam keadaan terganggu dan kepentingan mematuhi had laju yang ditetapkan di zon kerja juga dapat mempengaruhi tingkah laku pemandu.

Teknologi turut memainkan peranan yang semakin penting terhadap keselamatan dalam zon kerja. Sistem pintar kini menggunakan sensor dan kamera untuk memantau trafik dan memberikan maklumat masa nyata kepada para pemandu serta kru kerja. Tambahan, kru kerja perlu dilengkapi dengan pakaian pantulan cahaya, papan tanda yang dilengkapi lampu LED dan sistem pencahayaan sementara bagi menerangi kawasan kerja dan meningkatkan penglihatan pemandu. Penambahbaikan ini bukan sahaja mengurangkan kekeliruan, malah menjadikan zon kerja lebih selamat untuk semua yang terlibat.

Manfaat Mengutamakan Keselamatan di Zon Kerja

Mengutamakan keselamatan di zon kerja bukan sekadar tindakan yang betul dari segi moral, malah ia turut memberikan pelbagai manfaat praktikal. Dengan melaksanakan langkah keselamatan yang berkesan, pekerja dan pengguna jalan raya dapat dilindungi dengan lebih baik. Keselamatan juga memberi pulangan dari segi kecekapan projek. Zon kerja yang terurus dengan baik mengurangkan kemungkinan kelewatan akibat kekeliruan atau kemalangan.

Di luar kawasan kerja pula, rekod keselamatan yang baik meningkatkan reputasi sesebuah organisasi. Syarikat atau agensi yang dikenali kerana mengutamakan keselamatan lebih berpeluang untuk meraih kepercayaan dan penghormatan daripada pelanggan, kakitangan dan masyarakat umum. Ia menghantar mesej yang jelas iaitu organisasi ini menghargai nyawa manusia, bertanggungjawab dan beroperasi dengan profesionalisme yang tinggi.

Akhir sekali, mengutamakan keselamatan membantu memastikan pematuhan terhadap undang-undang dan peraturan. Mematuhi piawaian keselamatan seperti yang digariskan oleh Occupational Safety and Health Administration (OSHA) dapat mengurangkan risiko denda, tindakan undang-undang dan kelewatan yang merugikan.

Cabaran

Walaupun begitu, pengekalan tahap keselamatan yang tinggi di zon kerja kekal sebagai satu cabaran yang berterusan. Salah satu isunya adalah berkaitan dengan tingkah laku pemandu. Meskipun terdapat kempen kesedaran awam dan amaran yang jelas di kawasan pembinaan, tabiat memandu yang terganggu, memandu laju dan aksi pemanduan agresif masih kerap berlaku di sekitar zon kerja. Tabiat berisiko ini bukan sahaja mengancam nyawa para pekerja pembinaan, malah turut membahayakan pengguna jalan raya yang lain.

Kekangan kewangan turut menambah kesukaran dalam pelaksanaan langkah-langkah keselamatan yang komprehensif. Banyak agensi dan kontraktor beroperasi dengan sumber yang terhad, yang menyukarkan mereka untuk melabur dalam teknologi keselamatan yang canggih atau menggaji kakitangan keselamatan tambahan.

Tambahan, keadaan yang tidak dapat diramal seperti perubahan cuaca secara tiba-tiba, peningkatan atau penurunan jumlah trafik dan insiden jalan raya yang tidak dijangka memerlukan tahap kewaspadaan yang tinggi. Tindak balas yang berkesan memerlukan keputusan masa nyata, kakitangan yang terlatih serta perancangan yang fleksibel. Akhirnya, walaupun pelbagai kemajuan telah dicapai dalam meningkatkan keselamatan zon kerja, cabaran-cabaran ini menekankan keperluan untuk inovasi yang berterusan, pelaburan berfokus dan kerjasama masyarakat umum.

Kesimpulannya, keselamatan zon kerja adalah tanggungjawab bersama yang memerlukan kerjasama erat antara pasukan pembinaan, pihak berkuasa dan orang awam. Dengan perancangan yang teliti, latihan yang menyeluruh dan penyelesaian inovatif, kita mampu mengurangkan risiko secara signifikan dan mewujudkan persekitaran kerja yang lebih selamat untuk semua.

Penulis :

Dr. Ahmad Yusri Mohamad, Pensyarah Kanan, Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS), Pahang.

Prof. Madya Ir. Dr. Nur Izzi Md Yusoff, Pensyarah Kanan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Selangor.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti